SEREMBAN, 13 Disember 2023 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA) Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) telah menganjurkan satu forum bertajuk “BEVA Alumni Talk 2023 – Jom Masuk BEVA” secara atas talian yang dihadiri oleh lebih kurang 150 orang peserta. Program BEVA Alumni Talk merupakan program tahunan anjuran persatuan BEVA yang menjadi platform perkongsian ilmu dikalangan alumni program AM226 (Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar) dan pelajar-pelajar FSPPP.
Program kali ini dimulakan dengan sesi penerangan berkaitan program akademik AM226 daripada Koordinator Program AM226 sendiri iaitu Datin Dr. Nor Syamaliah Ngah yang telah menarik minat para pelajar di peringkat diploma dari pelbagai kampus dan fakulti. Sesi ini juga merupakan satu langkah promosi program AM226 kepada pelajar-pelajar diploma yang berminat untuk menjadikan program ini sebagai salah satu pilihan pengajian diperingkat ijazah sarjana muda.
Sesi forum diteruskan lagi dengan perkongsian ilmu oleh tiga orang ahli panel dikalangan alumni AM226 yang telah bergraduat dari tahun yang berbeza dan telah membina karier dipelbagai bidang. Sesi perkongsian telah dimulakan oleh En. Faris Anwar Redza Bin Azizul Hassan (Business Development Executive, EFS Revision Sdn Bhd), diikuti oleh En. Muhamad Atiq Bin Hassan (Safety Technician, Allgreen Timber Product Sdn Bhd) dan En. Muhammad Nur Fahmi Bin Ahmad Fadzil (Executive Administration, Anqas Certification Sdn Bhd).
Hasil dari perkongsian tersebut telah membuktikan bahawa graduan AM226 mempunyai potensi yang cukup baik untuk memenuhi pelbagai jawatan di sektor industri hijau di Malaysia. Graduan AM226 bukan sahaja boleh memenuhi jawatan sebagai Pegawai Kawalan Alam Sekitar dan Pegawai Kesihatan Persekitaran di sektor kerajaan, bahkan memenuhi jawatan disektor swasta sebagai Pegawai Eksekutif berkaitan pembangunan mampan/kelestarian, Eksekutif Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Eksekutif Pentadbiran. Namun, para pelajar dan graduan adalah dihasihatkan untuk mendapatkan kelayakan tambahan dan persijilan profesional dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta persijilan berkaitan ISO.
Secara keseluruhannya, program ini telah memenuhi keperluan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang pelbagai, terutamanya SDG4 (Quality Education), SDG8 (Decent Work and Economic Growth), dan SDG17 (Partnership for the Goals). Program ini juga menepati pencapaian PI038 (Jumlah program berkaitan nilai-nilai ESI-iDART), serta PI030 (Jumlah penglibatan syarikat-syarikat dalam aktiviti berkaitan karier). Namun yang paling penting, program ini telah mewujudkan kesinambungan dalam hubungan diantara para alumni FSPPP dengan para pelajar yang masih berada didalam sistem universiti, seterusnya dapat mewujudkan sinergi yang positif bagi kedua-dua pihak.