TAAT ULIL AMRI: BERSYARAT KEPADA SIAPA?

Islam berkehendak umatnya mentaati pemimpin seperti mana dalam firman Allah S.W.T. dalam surah an-Nisa ayat 59 yang bermaksud;

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” 

Ulil Amri adalah seorang hamba Allah yang diangkat menjadi pemimpin dalam kalangan masyarakat, ditugaskan untuk  membimbing, mengurus dan mengepalai sebaik-baiknya. Mentaati pemimpin ini semestinya bersyarat. Syarat seorang pemimpin yang perlu ditaati adalah pemimpin yang mentaati Allah, pemimpin yang menyeru mengajak masyarakat kepada amar makruf dan nahi mungkar serta tidak melampaui batas. Perkara ini telah dijelaskan dalam sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud; 

“(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.”

(Riwayat dari al-Bukhari (7144))

Sambungannya,

“Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu cintai dan mereka mencintai kamu, mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. Manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Lalu baginda ditanya: Wahai Rasulullah S.A.W! Tidakkah kita boleh memerangi mereka dengan pedang? Baginda bersabda: Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat bersama kamu. Jika kamu melihat sesuatu yang kamu benci daripada pemimpin kamu, maka bencilah perbuatannya, dan jangan meninggalkan ketaatan kepadanya.”

(Riwayat Muslim (65))

Namun dalam kita menceritakan soal syarat, ia secara logikalnya hanya terletak pada tubuh badan Ulil Amri semata-mata. Sedangkan rakyat yang diperintah atau dipimpin olehnya juga ada syarat-syarat. Syaratnya adalah ketaatan yang diberikan itu hendaklah disertakan dengan sifat ikhlas dan redha. Mewujudkan ikhlas dan redha tersebut dengan cara kita hendaklah memahami terlebih dahulu tugas dan fungsi serta batasan-batasan dalam melaksanakan fungsi Ulil Amri tersebut.

Tamsilnya, Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pemerintahan Raja Berperlembagaan yang membawa maksud Raja itu sendiri memerintah mengikut peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Negeri (Portal Rasmi Parlimen Malaysia, 2023).

Tambahan pula, ketua agama Islam disandang oleh Raja-Raja kita menurut Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan. Sudah menjadi amanah yang dipikul sejak dahulu lagi dan ia kekal berada di bawah bidang kuasa baginda sehingga sekarang. Akan tetapi, amanah tersebut tidak dilaksanakan mengikut kehendak hawa nafsu semata-mata, ia berjalan seiring dengan bantuan dari nasihat-nasihat ahli Majlis Agama Islam sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan. 

Di dalam undang-undang ada struktur-struktur yang menunjukkan kuasa budi bicara baginda Raja serta perbatasan atau ketidakbolehan Raja Pemerintah yang harus kita ketahui dan fahami. Sebagai contoh Undang-Undang Negeri Selangor memperuntukkan dalam Perkara 55 berkenaan dengan Sultan hendaklah bertindak mengikut nasihat. Namun di dalam peruntukkan tersebut masih ada kuasa mutlak baginda iaitu baginda boleh bertindak menurut budi bicara pada sesetengah perkara. Perkara 55 menyatakan;

Sultan hendaklah bertindak mengikut nasihat

LV. (1) Pada menjalankan fungsi Baginda di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan ini atau mana-mana undang-undang atau sebagai anggota Majlis Raja-Raja, Duli Yang Maha Mulia hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan atau nasihat seseorang ahlinya yang bertindak di bawah kuasa am Majlis itu kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan ini; tetapi adalah berhak atas permintaan Baginda untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan Kerajaan Negeri yang boleh didapati oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(1A) Jika pada menjalankan fungsi Baginda di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan ini atau mana-mana undang-undang atau sebagai anggota Majlis Raja-Raja, Duli Yang Maha Mulia dikehendaki bertindak mengikut nasihat atau atas nasihat mana-mana orang atau kumpulan orang, Duli Yang Maha Mulia hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

(2) Duli Yang Maha Mulia boleh bertindak menurut budi bicara Baginda pada melaksanakan fungsi yang berikut (sebagai tambahan kepada fungsi yang pada melaksanakannya Baginda boleh bertindak menurut budi bicara Baginda di bawah Perlembagaan Persekutuan) iaitu–

  • pelantikan Menteri Besar;
  • keengganan untuk memperkenankan permintaan bagi pembubaran Dewan Negeri;
  • pemubatan permintaan supaya diadakan suatu mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaa, kedudukan, kehormatan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja atau perbuatan, amalan atau upacara agama;
  • apa-apa fungsi sebagai Ketua agama Islam atau yang berhubungan dengan adat Melayu;
  • pelantikan Waris atau Waris-Waris, Konsort, Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja;
  • pelantikan orang untuk menyandang pangkat, gelaran, kehormatan dan kebesaran di sisi adat Melayu dan menetapkan fungsi yang berkaitan dengannya;
  • pengawalseliaan balai-balai di-Raja dan istana-istana.

(3) Undang-Undang Negeri boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Duli Yang Maha Mulia bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Majlis Mesyuarat Kerajaan pada menjalankan mana-mana fungsi Baginda selain daripada–

  • fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicara Baginda;
  • fungsi yang berkenaan dengan perjalanannya peruntukan ada dibuat dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan ini atau dalam Perlembagaan Persekutuan.

(4) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh menyentuh mana-mana peruntukan dalam mana-mana bahagian Undnag-Undang Tubuh Kerajaan ini yang menghendaki Duli Yang Maha Mulia bertindak atas nasihat atau dengan persetujuan mana-mana badan atau orang selain daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Seangkatan dengan Perkara 34 Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan ketidakbolehan Yang di-Pertuan Agong dan Perkara 40 mengenai Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat namun masih terdapat hak baginda bertindak mengikut budi bicara bagi sesetengah perkara. Perkara 34 dan Perkara 40 seperti berikut;

34. Ketidakbolehan Yang di-Pertuan Agong, dsb.

(1) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan fungsinya sebagai Raja Negerinya kecuali fungsinya sebagai Ketua agama Islam.

(2) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh memegang apa-apa jawatan yang baginya ada apa-apa saraan.

(3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersil.

(4) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menerima apa-apa jua jenis emolumen yang kena dibayar atau terakru kepadanya sebagai Raja Negerinya di bawah peruntukan Perlembagaan Negeri itu atau peruntukan mana-mana undang-undang Negeri.

(5) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh, tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, meninggalkan Persekutuan selama lebih daripada lima belas hari, kecuali semasa lawatan Negara ke suatu negara lain.

(6) Fasal (2) dan (3) hendaklah juga terpakai bagi Raja Permaisuri Agong.

(7) Jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh undang-undang menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong selama tempoh melebihi lima belas hari, maka Fasal (1) hingga (5) hendaklah terpakai baginya sepanjang tempoh itu sebagaimana Fasal-Fasal itu terpakai bagi Yang di-Pertuan Agong.

(8) Tiada apa-apa jua dalam Fasal (1) boleh menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada menjalankan apa-apa kuasa yang terletak hak padanya sebagai Raja Negerinya sama ada berseorangan atau bersama-sama dengan mana-mana pihak berkuasa lain–

  • bagi meminda Perlembagaan Negeri itu; atau
  • bagi melantik seorang Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja sebagai ganti mana-mana Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang telah mati atau yang tidak berupaya kerana apa-apa sebab untuk masing-masing melaksanakan tugas jawatan Pemangku Raja atau anggota Majlis Pemangku Raja.

40. Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.

(1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

  • melantik seorang Perdana Menteri;
  • tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
  • meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,

dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

(3) Undang-undang persekutuan boleh membuat peruntukan bagi menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak selepas berunding dengan atau atas syor mana-mana orang atau kumpulan orang selain Jemaah Menteri pada menjalankan mana-mana fungsinya selain–

  • fungsi yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya;
  • fungsi yang berkenaan dengan penjalanannya peruntukan ada dibuat dalam mana-mana Perkara lain.

Jelas di sini, apabila kita memahami fungsi baginda dari sudut undang-undang maka ketaatan secara zahirnya akan sampai kepada naluri seorang rakyat. Raja ataupun Ulil Amri adalah manusia biasa yang tidak akan lari dari melakukan kesilapan. Maka sekiranya Ulil Amri itu melakukan kesilapan, maka sebagai rakyat yang berada di bawah naungan pemerintahannya hendaklah menegur dan memberi nasihat secara berhemah dan tidak melampaui batas. Seperti mana firman Allah S.W.T dalam surah Taha ayat 43 dan 44 yang bermaksud;

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”

Kita ambil penghayatan dari kalam Allah S.W.T ini yang menyuruh untuk bertutur dengan cara yang baik kepada pemimpin. Sejahat-jahat Firaun pun berkehendak demikian, apatah lagi pemimpin kita yang sujud kepada Allah S.W.T, membayar zakat dan mengerjakan haji serta memenuhi kehendak agama Islam yang lain. 

Intihanya, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dan penghayatan agar dijadikan pedoman dan panduan kita. Antaranya ialah Ulil Amri hendaklah melaksanakan perkara amar makruf nahi mungkar dan tidak melampaui batas supaya kreadibiliti sebagai seorang pemimpin Muslim sejati sentiasa teguh dan tidak goyah. Masyarakat umumnya perlu memahami tugas dan fungsi Ulil Amri yang bertindak berlandaskan undang-undang supaya ketaatan yang diberikan tidak sekadar terpaksa dan kepura-puraan. Mengadaptasi segala fakta melalui sumber yang sahih menjadi keperluan kepada rakyat Malaysia secara khususnya bagi memenuhi sifat ketaatan tersebut.