Puncak Perdana, 16 Disember 2023 – Universiti Teknologi MARA melalui Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) telah memberi sumbangan besar dalam bidang keselamatan siber. Di bawah naungan “Service Learning Malaysia – University for Society” (SULAM), KPPIM telah berjaya menganjurkan ceramah kesedaran sebagai usaha menangani kebimbangan risiko siber yang semakin meningkat dalam era digital kontemporari khususnya di kalangan generasi muda.
Seramai 50 orang peserta telah menyertai program ini yang berlangsung di Dewan Seminar IM, Puncak Perdana, Shah Alam. Nurzahira Mohd Zahri, Pengarah Projek bersama 25 orang mahasiswa berkhidmat sebagai fasilitator program, kesemuanya dari program Sarjana Muda Sains Maklumat (Kepujian) Pengurusan Kandungan Maklumat. Intipati utama program adalah untuk mewujudkan kesedaran tentang keselamatan siber, serta cara untuk mengurangkan risiko. Explorace, merupakan aktiviti yang paling diminati oleh para peserta atas penyampaian struktur kandungan yang memerlukan peserta bergerak aktif sambil menerima objektif pendidikan program, lantas menjadikannya acara yang sesuai dalam meningkatkan kesedaran siber di kalangan penuntut UiTM Puncak Perdana.
Dr. Muhamad Khairulnizam Zaini, Penasihat Program memulakan acara sebagai perasmi program. Ini kemudiannya diikuti dengan ceramah bertajuk “Keselamatan Siber: Melindungi Program Digital Kita” yang disampaikan oleh En. Qamarul Nazrin Harun, pensyarah UiTM Kampus Segamat. Acara ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila para peserta sebulat suara menyatakan penghargaan atas perbincangan bernas dan pandangan praktikal yang dikongsikan. Ia merupakan peluang yang berharga untuk meningkatkan pemahaman keselamatan siber, dan penglibatan positif menyerlahkan kepentingan meneruskan perbincangan mampan secara kolektif. Ini menunjkkan komitmen UiTM dalam memperkasakan masyarakat supaya mereka lebih berwaspada dalam era digital yang sentiasa progresif.
Program KPPIM SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society) 2023/2024 merupakan salah satu inisiatif yang bertujuan memperkasa dan berkhidmat kepada masyarakat melalui aktiviti sukarelawan. Siswazah diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka secara praktikal dan melihat bagaimana ilmu yang diperolehi mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. Aktiviti sebegini bukan sahaja membawa dampak positif kepada komuniti, malah menyokong aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals Empat dan Sebelas iaitu Pendidikan Berkualiti, Bandar dan Masyarakat Mampan. Ia juga turut mendukung aspirasi Kerajaan untuk membentuk Masyarakat Madani.