Pertandingan Chem-E Car Malaysia kembali berlangsung secara fizikal di 15th Malaysian Chem-E Car Competition 2023 setelah berehat selama 4 tahun

SHAH ALAM, 5 November 2023 – Program 15th Malaysia Chem-E Car Competition 2023 melakar sejarah tersendiri apabila kembali dianjurkan secara fizikal oleh Institute of Engineers Malaysia (IEM). Selaku tuan rumah, pelajar – pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari persatuan “The Institution of Chemical Engineers-UiTM-Student Chapter” (IChemE-UiTM-SC), dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan Awam (PERKA) dan juga “The Institution of Engineers Malaysia-UiTM-Student Chapter” (IEM-UiTM-SC) berganding bahu menjayakan program yang bertempat di Kompleks Kejuruteraan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah pada 4 hingga 5 November 2023 baru-baru ini.

Setelah 4 tahun, kini pertandingan ini kembali dijalankan secara menyeluruh yang meliputi pertandingan cabaran juga poster. Program yang saban tahun dianjurkan oleh pihak IEM ini mendapat sambutan hangat dari pelajar-pelajar kejuruteraan dari dalam dan luar negara. Sebanyak 112 peserta dari 19 universiti terkemuka dari rantau Asia Tenggara turut serta dalam pertandingan yang memaparkan kreativiti dan juga inovasi dalam bidang sains dan teknologi.

Pertandingan ini menuntut para peserta untuk menggerakan kenderaan ciptaan mereka menggunakan tindak balas kimia dan menyempurnakan tugasan khas pada setiap cabaran. Peserta haruslah menggunakan tindak balas kimia yang mampan untuk memastikan teknologi yang digunakan tidak memberi kesan mudarat kepada alam sekitar dan juga penggunanya.

Perasmi program ini YBhg Profesor Dr Hamidah Mohd Saman, selaku Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM menyifatkan program ini telah berjaya melibatkan banyak pihak dan dapat membantu dalam usaha membentuk mahasiswa universiti yang mempunyai daya saing yang tinggi. Penglibatan peserta dari Indonesia juga membuka ruang dan peluang jaringan kolaborasi yang lebih erat antara peserta, penganjur dan tuan rumah pertandingan.

Program ini juga memberi impak positif kepada komuniti apabila ianya turut dilawati oleh warga UiTM, pelajar dan pensyarah dari Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail, Pagoh, Johor dan juga guru dan pelajar dari SK Bukit Tampoi (Asli). Pelawat diberi peluang untuk menyaksikan program berperingkat antarabangsa ini dan berinteraksi dengan peserta untuk mendapatkan informasi lebih lanjut mengenai prototaip yang dibangunkan oleh peserta pertandingan.

Pada edisi kali ini, pasukan Pocalunar Kairos 3.0 dari Universitas Diponegoro, Indonesia berjaya merangkul gelaran juara dan sekaligus membawa pulang hadiah berjumlah RM3,000 berserta trofi kejuaraan. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), YBhg Profesor. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi dan Presiden IEM, Ir. Prof. Dr Norlida Bt Buniyamin.

Diharapkan dengan penganjuran program berimpak tinggi ini dapat membentuk mahasiswa yang holistik yang bukan sahaja hebat dalam bidang teknikal, malah mampu berkomunikasi secara efektif, mempunyai daya tahan yang tinggi, matang, dan mampu bersaing dengan sihat. Keterlibatan peserta dari universiti antarabangsa dapat meningkatkan semangat dan daya juang mahasiswa tempatan dalam usaha universiti melahirkan graduan bertaraf global. Semua usaha ini dilihat selari dengan hasrat UiTM dalam aspirasi menjadi universiti bertaraf global pada 2025 (Globally Renowned University 2025).