Isu pencemaran pantai adalah sangat penting di Malaysia. Punca utama yang menyebabkan pencemaran pantai adalah pembuangan sampah oleh penduduk setempat. Sisa-sisa ini datang dari kilang industri atau kawasan perumahan yang tidak boleh terurai dan terus terperangkap di dasar laut untuk masa yang lama. Kesan pencemaran pantai akan memberi impak negatif kepada hidupan akuatik, keselesaan pelancong, dan kesihatan manusia. Oleh itu, usaha mengutip sampah di kawasan pantai adalah sangat penting untuk menjaga alam sekitar dan memastikan ekosistem kita berada dalam keadaan baik.
“Pantai Bagan Pinang Beach Cleanup” merupakan satu program khidmat masyarakat atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang telah dijalankan oleh beberapa pensyarah Pusat Asasi bersama pelajar seliaan. Program ini telah dijalankan di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson. Program ini juga hasil daripada kerjasama bersama Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).
Selain itu, program membersihkan pantai ini telah memberikan impak positif kepada pelajar kerana ia membuka mata mereka tentang isu pemeliharaan alam sekitar di kawasan pantai. Pengalaman daripada aktiviti khidmat sosial ini juga dapat diaplikasikan dalam pembelajaran dan kehidupan harian pelajar. Program ini juga telah dapat meningkatkan kesedaran penduduk tempatan tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan mendorong rasa kasih sayang terhadap alam sekitar dalam diri peserta.
Program Bagan Pinang Beach Clean-up telah dilaksanakan pada 14 Oktober 2023 bertempat di Pantai Bagan Pinang, Port Dickson bermula jam 8.00 pagi sehingga 4.00 petang. Ini adalah salah satu program khidmat masyarakat yang telah dianjurkan oleh 5 orang pensyarah daripada Unit Fizik dengan kerjasama 89 orang pelajar seliaan akademik dan Majlis Perbandaran Port Dickson.
Antara beberapa objektif program adalah dapat meningkatkan kesedaran bahawa menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama dan tidak hanya bergantung kepada satu organisasi sahaja. Program ini juga bertujuan untuk menghasilkan pelajar yang menyeluruh, di mana fokus mereka tidak terbatas kepada pembelajaran dalam dewan kuliah saja, tetapi juga melibatkan mereka dalam aktiviti sosial yang memberikan manfaat di luar bilik kuliah. Membantu mencapai matlamat dalam Agenda Pembangunan Lestari (SDG), matlamat 14 – Kehidupan di Bawah Air, iaitu untuk menggunakan dan menjaga sumber marin, lautan, dan laut secara lestari untuk pembangunan yang mampan.
Sebagai kesimpulannya, program Bagan Pinang Beach Clean-up telah berjalan dengan lancar pada 14 Oktober 2023. Program ini terbukti memberi impak yang positif kepada para peserta. Secara ringkasnya, program ini dapat menyumbang manfaat kepada pelajar UiTM dalam memupuk kesedaran kepentingan penjagaan alam sekitar dan kesan pembuangan sampah terhadap habitat akuatik di sekitar. Oleh itu, program seperti ini dapat melahirkan pelajar yang holistik, di mana pelajar tidak tertumpu dengan pembelajaran di dewan kuliah sahaja, tetapi pelajar juga didedahkan dengan aktiviti sosial yang memberi manfaat di luar bilik kuliah.