34 MAHASISWA UiTM MERASAI MENJADI ANAK PENEROKA

KOTA TINGGI, 10 September 2023 – Institut Pemimpin Muda, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Komuniti Madani Felda Lok Heng telah menganjurkan program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM): Keluarga Angkat Institut Pemimpin Muda (IPM). Program ini telah melibatkan seramai 34 orang mahasiswa UiTM, 15 keluarga angkat dan komuniti Felda Lok Heng yang disempurnakan oleh Ketua Peneroka Wilayah Johor Bahru merangkap Pengerusi JKKR Felda Lok Heng Selatan, Haji Mohamad Bakar. Program ini telah mencapai sebanyak dua Sustainable Development Goals (SDGs) iaitu Quality Education dan Sustainable Cities and Communities serta dua Petunjuk Prestasi (PI) Bahagian Hal Ehwal Pelajar iaitu bilangan program kesukarelawan (PI028) dan bilangan program yang berkaitan dengan kesejahteraan emosi (PI039).

Objektif utama penganjuran program kali ini adalah untuk memberikan peluang kepada mahasiswa itu sendiri merasai dan mempelajari kehidupan sosial masyarakat di luar bandar bersama keluarga angkat masing-masing selama lima hari empat malam. Hal ini, selaras dalam menyahut seruan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam pemerkasaan mahasiswa sekali gus bagi merealisasikan objektif Universiti Teknologi MARA untuk melahirkan produk UiTM yang bukan sahaja bagi memenuhi pasaran guna tenaga manusia tempatan, malah bersedia untuk berkhidmat di peringkat global. Menerusi Globally Renowned University (GRU) 2025, UiTM memberikan fokus pada nilai prestasi melalui bakat 6.0 (IR 6.0). Hal ini dapat memastikan UiTM kekal relevan di peringkat nasional dan global.

Antara pengisian program OPKIM ialah gotong-royong perdana dan program motivasi bersama pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Lokman Hakim di mana dalam sesi perkongsian, fasilitator berkongsi mengenai pengalaman di alam universiti dan sedikit motivasi dalam menghadapi peperiksaan SPM tidak lama lagi. Encik Rahim Rosdi, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Lokman Hakim serta barisan guru dan pelajar sekolah yang turut hadir bersama-sama dalam menjayakan program tersebut.

Peserta OPKIM juga berpeluang merasai pengalaman masuk ke ladang kelapa sawit Felda Lok Heng yang dibantu oleh Penyelia Ladang Felda Lok Heng, Encik Azizul Abu Bakar. Tidak ketinggalan juga peserta didedahkan mengenai proses pengurusan ladang kelapa sawit bermula penuaian kelapa sawit sehingga penjagaan kelapa sawit itu sendiri.

Dalam pada itu, jadual peserta OPKIM juga telah diisikan dengan program-program kerohanian di Masjid Al-Muhajirin Felda Lok Heng Selatan yang mana para peserta diberikan perkongsian oleh penduduk setempat mengenai sejarah penubuhan Felda amnya, dan Felda Lok Heng khususnya. Peserta turut berpeluang merasai pengalaman makan dalam talam bersama komuniti di masjid tersebut. Peserta juga tidak melepaskan peluang untuk mendaki dan melihat keindahan Tangga Tujuh di Kota Tinggi, Johor pada hari terakhir. Sebelum bergerak pulang ke UiTM, peserta OPKIM telah dihidangkan dengan sajian tradisi Felda Lok Heng. Diharapkan program seperti ini dapat dilaksanakan sekali lagi pada masa akan datang.