WARGA SMK RAWANG CAKNA KESIHATAN DENGAN PELAJARI ASAS RAWATAN KECEDERAAN DAN LUKA

Pada 6 dan 7 September baru-baru ini, warga SMK Rawang dengan kerjasama enam orang penyelidik “Wound Simulation” dari Fakulti Sains Kesihatan UiTM Selangor, Puncak Alam telah menjalankan program cakna kesihatan dengan pelaksanaan pameran dan simulasi asas perawatan luka dan kecederaan. Simulasi rawatan asas luka dan kecederaan ini diadakan bersempena dengan Pameran STEM and Innovation Fair (STEMIF) Peringkat Kebangsaan 2023 yang telah diadakan di Dewan Angsana, Sekolah Mengenah Kebangsaan Rawang, Selangor. Pameran STEM and Innovation Fair (STEMIF) Peringkat Kebangsaan 2023 ini telah dianjurkan oleh Pusat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni ICAN UiTM dengan kerjasama SMK Rawang, Selangor yang melibatkan pelbagai pameran STEM, ceramah kerjaya, bengkel, pertandingan dan sebagainya.


Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) khususnya SDG 3: Good Helath and Wellbeing, dan SDG 4 Quality Education, kolaborasi dalam pembelajaran asas rawatan luka dan kecederaan dengan penglibatan entiti kepakaran dari universiti dalam bidang Sains Kesihatan dan juga entiti komuniti iaitu warga sekolah amatlah berkait rapat dan menguntungkan kedua-dua belah pihak. Ini kerana melalui saranan SDG ini, Kerjasama dua hala dapat digembelingkan bagi memastikan penyampaian ilmu dapat disampaikan terus kepada masyarakat.

Dalam situasi sebenar, kecederaan ataupun luka akibat keadaan sesuatu penyakit, kemalangan, kebakaran, melecur dan sebagainya merupakan jenis kecederaan yang selalu berlaku dalam kalangan komuniti masyarakat. Sekiranya komuniti dalam masyarakat ini tidak tahu bagaimana untuk menghadapi keadaan tersebut, ianya akan membahayakan kesihatan dan jika tidak dirawat dengan segera akan menyebabkan jangkitan kuman yang lebih teruk. Selain itu, asas pembelajaran tentang luka dan kecederaan yang diterangkan secara simulasi oleh kit luka yang dihasilkan oleh para penyelidik ini amatlah berguna dan mirip dengan keadaan sebenar. Ini membolehkan para pelajar dan seluruh warga sekolah yang menyertai bengkel ini lebih mudah memahami cara rawatan asas yang perlu dilakukan. Hal ini juga dapat membantu warga sekolah untuk bertindak pantas sekiranya kecederaan ini berlaku di kawasan sekolah.

Menurut Ketua Penyelidik Inovasi Wound Simulation ini iaitu En Razif Dasiman, Pensyarah Kanan Fisiologi dari Jabatan Sains Asas, Fakulti Sains Kesihatan UiTM, mempelajari asas luka dan kecederaan ini sangtalah penting dalam semua lapisan masyarakat tidak kira di mana jua berada, latar belakang dan juga umur, ini kerana kecederaan boleh berlaku di mana-mana tanpa mengenal sesiapa saja. Dengan memahami jenis luka dan kecederaan serta mengetahui cara asas rawatan, ianya mungkin dapat menyelamatkan nyawa orang lain. Bersempena dengan STEM and Innovation Fair (STEMIF) Peringkat Kebangsaan 2023, pihak penyelidik Wound Simulation ini amat berterima kasih kepada pihak ICAN UiTM terutamanya Professor Dr Professor Dr Muhammad Hussain Ismail, Pengarah Pusat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni ICAN atas peluang kolaborasi dan penyertaan pameran yang diberikan untuk menyantuni komuniti masyarakat bersama-sama para penyelidik UiTM yang lain. Turut serta dalam STEMIF adalah pameran inovasi dari pelbagai sektor kerajaan, swasta dan industri dengan produk masing-masing yang sedang diketengahkan dan ada juga yang telah dikomersilkan. Melalui penganjuran program berimpak tinggi seperti STEMIF 2023 ini, ternyata ianya dapat dijadikan wadah pengembangan dan perkongsian ilmu antara pihak UiTM dengan masyarakat di luar sana serta mewujudkan jaringan Quadruple Helix yang terbaik antara pelbagai sektor dalam menghasilkan symbiosis yang sangat menguntungkan semua pihak.