Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak terus memberikan perhatian kepada program latihan industri bagi pelajar tahun akhir dengan memberi penekanan khusus pada peluang latihan di luar negara. Program ini bertujuan untuk memberikan pengalaman berharga kepada pelajar dalam memperluaskan pengetahuan mereka serta meningkatkan kebolehpasaran di pasaran kerja global.
Pada tahun ini seperti yang terpapar pada foto seramai enam orang pelajar UiTM Samarahan telah berjaya menjalani latihan industri di Pejabat Kedutaan Malaysia bertempat di Jakarta, Indonesia dan dua orang lagi ditempatkan di Sydney, Australia. Penerimaan dari pihak organisasi luar negara telah membuktikan bahawa pelajar tempatan juga memiliki kebolehan yang luar biasa dan bersedia untuk bersaing secara global.
Menurut Encik Harriz Abdullah, Koordinator Latihan Industri bagi Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM berkata, “Latihan industri di luar negara memberikan pengalaman yang tidak ternilai kepada pelajar tahun akhir kami. Ia membuka peluang kepada mereka untuk memahami perspektif global dalam bidang kerjaya mereka dan memperluaskan jaringan profesional mereka. Ini adalah langkah penting dalam mempersiapkan mereka untuk menjadi graduan yang berdaya saing di pasaran kerja global.”
Subjek latihan industri merupakan bahagian yang sangat penting dalam pengajian pelajar tahun akhir di UiTM. Program ini memberi peluang kepada mereka untuk mengaplikasikan pengetahuan teori dalam situasi sebenar di tempat kerja. Dalam latihan industri tersebut, pelajar dapat berinteraksi dengan lebih dekat bersama ahli profesional yang berpengalaman serta berpeluaang untuk berdepan cabaran yang berbeza dalam persekitaran kerja di luar negara.
Keistimewaan menjalani latihan industri di organisasi luar negara memberikan pelbagai manfaat yang signifikan. Salah satu manfaat utama adalah peningkatan kebolehpasaran pelajar. Pengalaman bekerja di luar negara membuka mata pelajar terhadap budaya, bahasa, dan budaya kerja yang berbeza. Mereka juga berpeluang mempelajari kemahiran komunikasi serta meningkatkan kemahiran bekerjasama dengan individu dari latar belakang budaya yang berbeza.
Selain itu, latihan industri di luar negara juga membantu pelajar mengembangkan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja global. Mereka belajar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja baru, meningkatkan kemahiran pelbagai tugas, dan memperkukuhkan kemahiran kepemimpinan serta pengurusan. Pelajar juga dapat memperluas rangkaian profesional mereka dengan menjalin hubungan dengan individu dan organisasi di luar negara, yang dapat memberikan manfaat jangka panjang dalam pembangunan kerjaya mereka.
UiTM Sarawak akan terus menjalinkan kerjasama dengan organisasi di pelbagai negara bagi memberikan lebih banyak peluang latihan industri di luar negara terutamanya kepada pelajar ijazah tahun akhir. Para pelajar juga akan diberikan sokongan dan bimbingan dalam proses permohonan dan persediaan untuk menjalani latihan industri di luar negara. Pihak universiti juga akan turut membantu menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar yang bakal menjalani latihan industri di luar negara pada masa akan datang.
Dengan kepentingan dan manfaat yang ditawarkan oleh latihan industri di luar negara ini, para pelajar UiTM juga diseru untuk mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya. Mereka diingatkan bahawa pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh melalui latihan industri di organisasi luar negara akan menjadi aset yang berharga dalam membina kerjaya mereka di masa hadapan.
Sumber Foto: Cik Asmahani Mahdi (Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan-Teknologi Pejabat, UiTM Sarawak)