Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pahang Mengadakan Program Jejak Menara Gading Bersama Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Temerloh, Pahang.

Pada 15 Julai 2023 yang lalu, Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA) UiTM Cawangan Pahang dengan kerjasama Rakan Sinergi MPT 5 Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Temerloh telah mengadakan Program Jejak Menara Gading di UiTM Cawangan Pahang bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga 2.00 petang.

Seramai 107 orang pelajar Tingkatan 5 dan 7 orang guru SBPI Temerloh telah menghadiri program dengan menaiki 3 biji bas dari SBPI Temerloh. Objektif program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para pelajar berkenaan program-program yang ditawarkan di UiTM dan juga merasai pengalaman belajar di institusi pengajian tinggi.

Program ini dimulakan dengan majlis pembukaan program di Al-Tabari Bangunan IST, UiTM Cawangan Pahang. Ucapan aluan telah diberikan oleh Ketua Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Ts. Zulhafizal Othman bagi mengalu-alukan kehadiran para pelajar dan guru SBPI Temerloh ke UiTM Cawangan Pahang. Manakala, ucapan dari wakil sekolah telah diberikan oleh Cikgu Rosyaimi bin Ramli selaku Pengerusi Majlis Pengurusan Tingkatan 5.

Majlis diteruskan dengan Taklimat Kemasukan ke UiTM yang diberikan oleh Encik Mohd Faizal Azrul Azwan B Muhamed @ Che Harun, Pengerusi Jawatankuasa Misi Akademik UiTM Pahang. Taklimat ini memberikan pendedahan kepada pelajar tentang program-program yang ditawarkan oleh UiTM, proses pengambilan pelajar ke UiTM dan maklumat penting berkenaan permohonan ke IPTA. Majlis pembukaan diakhiri dengan penyampaian cenderahati daripada pihak sekolah kepada Encik Mohd Faizal Azrul Azwan dan Ts. Zulhafizal Othman mewakili PKA UiTM Cawangan Pahang. Cenderahati juga diberikan kepada pihak sekolah sebagai tanda penghargaan oleh pihak UiTM.

Program diteruskan lagi dengan lawatan ke sekitar UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka seperti makmal-makmal PKA, Perpustakaan Al-Bukhari dan Masjid Uwais Al-Qarni. Semasa lawatan ke makmal PKA, para pelajar dapat merasai pengalaman menggunakan peralatan makmal serta diberikan penerangan oleh pensyarah dan pembantu jurutera makmal PKA berkenaan fungsi setiap makmal yang dilawati. Antara makmal yang dilawati ialah Makmal Khidmat Bangunan, Makmal Geologi, Makmal Struktur Ringan dan Makmal Alam Sekitar.

Seterusnya, lawatan ke Perpustakaan Al-Bukhari telah disambut oleh pustakawan yang bertugas di ruang legar Perpustakaan Al-Bukhari. Para pelajar telah diberikan penerangan tentang khidmat dan ruangan yang disediakan di Perpustakaan Al-Bukhari yang merupakan antara tempat yang menjadi tumpuan pelajar UiTM Cawangan Pahang mengulangkaji pelajaran dan mendapatkan rujukan pembelajaran.

Program diakhiri dengan lawatan ke Masjid Uwais Al-Qarni yang merupakan salah satu Rumah Ibadah Hijau di Pahang dan ditadbir oleh Unit Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Pahang. Para pelajar dan guru telah menunaikan solat zohor secara berjemaah dan menjamu selera di masjid ini. Sebelum bergerak pulang, Cikgu Rosyaimi bin Ramli telah menandatangan buku tetamu PKA UiTM Cawangan Pahang sebagai tanda kenangan mewakili pihak sekolah.

Diharapnya program ini dapat memotivasikan para pelajar dan memberi semangat kepada mereka yang akan bakal mengambil Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Terima kasih diucapkan kepada pihak sekolah yang telah memilih PKA UiTM Cawangan Pahang sebagai rakan kerjasama dalam penganjuran program ini, terutamanya kepada Cikgu Rosyaimi bin Ramli selaku Pengerusi Majlis Pengurusan Tingkatan 5 dan Cikgu Hurul Ain binti Mohd Nor selaku Pengarah Program. Semoga kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Terima kasih juga diucapkan kepada KPP PKA, Ts. Zulhafizal Othman, Koordinator Program Diploma Kejuruteraan, Dr. Rohaya Alias, Penasihat Persatuan Pelajar Civil Engineering Student Society (CESS), Dr. Wan Zukri Wan Abdullah dan Puan Ainamardia Nazarudin, pelajar-pelajar CESS dan barisan Pensyarah serta penolong jurutera makmal yang hadir memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang program berlangsung.

Barisan Pensyarah yang terlibat adalah :
1. En. Mohd Mawardi bin Mohd Kamal
2. Pn Normadiana binti Mohammad Hanapi
3. Pn Nurul Aishah binti Abd Rahman
4. Pn Nur’ain binti Mat Yusof
5. Pn Norizah binti Omar
6. En Mohd Risham bin Jaafar
7. Ts. Mohd Fakri bin Muda

Barisan Penolong Jurutera Makmal
1. En Abd Muhaimin bin Ab Aziz
2. Pn Rafidah binti Rahman
3. En Mohamad Hisham bin Saad
4. En Safarul bin Mohamad
5. En Muhammad Irfan Abu Bakar

Program ini telah berjaya mencapai PI 75 dan PI 77 yang ditetapkan oleh UiTM dalam usaha mencapai PI UiTM2025.