Unit Kualiti di Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah ditubuhkan pada 1994 dan dikenali sebagai Centre for Total Quality in Education (CTQE). Unit ini seterusnya telah bertukar nama dan dikenali sebagai Institut Pengembangan Ilmu (InKA) pada 2001. Ianya adalah selaras dengan perubahan status UiTM dari Institut kepada Universiti.
Pada tahun 2005, sekali lagi institut ini telah ditukar nama dan dikenali sebagai Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA). Pertukaran tersebut adalah selaras dengan penambahan fungsi pada ketika itu. Penambahbaikan tersebut perlu agar pengurusan kecemerlangan organisasi di UiTM dapat direalisasikan.
Secara amnya, Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) adalah sebuah badan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kualiti di UiTM. Sebagai pusat kualiti UiTM, InQKA berperanan untuk mengurus dan menjadi pemangkin kepada semua aktiviti berkaitan kualiti yang dijalankan bukan sahaja di peringkat universiti dan fakulti, bahkan juga di kampus-kampus cawangan. Selain itu InQKA juga bertanggungjawab untuk memastikan pematuhan kepada Kod Amalan untuk Audit Institusi (COPIA), Kod Amalan untuk Akreditasi Program (COPPA) dan ISO 9001 dapat dilaksanakan.
InQKA telah dipertanggungjawabkan dengan beberapa projek besar di UiTM. Ini termasuk menyelaras audit swa-akreditasi untuk keseluruhan sistem UiTM, penganjuran Seminar Jaminan Kualiti Dalaman dan Luaran (SIEQA) dan meningkatkan keseluruhan Sistem Pengurusan Kualiti UiTM melalui aplikasi sistem i-QMS. InQKA juga berperanan menyelaras dan menganjurkan pertandingan Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) dan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).
Secara dasarnya, InQKA telah menggalas tanggungjawab pengurusan kualiti universiti. Ini dapat disaksikan dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti berkaitan kualiti. Secara tidak langsung InQKA telah mendokong teras strategik “Pendidikan Berkualiti” UiTM 2025.