UiTM Tingkatkan Kemahiran Warga Dalam Bidang Keselamatan Siber Menerusi Program Rakan Akademi Fortinet

SHAH ALAM, 17 OKTOBER – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persetujuan (MoA) dengan Syarikat Fortinet untuk menjalankan kerjasama dalam keselamatan siber. Memorandum ini ditandatangani antara Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM dan Encik Dickson Woo, Pengurus Negara , Fortinet.

Dengan termeterainya memorandum ini, UiTM menerusi Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media menyertai Program Rakan Akademi Fortinet. Melalui program ini, UiTM dapat meningkatkan kesedaran dan merapatkan jurang kemahiran dalam bidang keselamatan siber. Selain itu, dalam usaha memperkasakan bakat keselamatan siber, latihan dan pensijilan Pakar Keselamatan Rangkaian (NSE) akan ditawarkan kepada kakitangan dan pelajar seluruh UiTM.

Menurut Profesor Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, kerjasama UiTM sebagai universiti terbesar di Malaysia, dengan syarikat multinasional seperti Fortinet yang mempunyai pengalaman luas menjalankan urusniaga dengan perusahaan, penyedia perkhidmatan dan organisasi kerajaan di peringkat global , adalah perlu.

Tambah beliau lagi, isu keselamatan siber semakin ketara pada masa kini. Oleh itu adalah perlu bagi kakitangan dan pelajar UiTM mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang tersebut menerusi Program Rakan Akademi Fortinet.

Fortinet yang merupakan syarikat multinasional telah mengeluarkan lebih daripada 1 juta pensijilan tersebut seluruh dunia.Turut hadir dalam majlis ini adalah Encik Abdul Aziz Ali, Pengarah Jualan- Sektor Awam,Fortinet dan Profesor Haryani Haron, Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM.