Pada 11 Jun 2022, telah diadakan satu sesi perkongsian iaitu “Technical Talk: WATER ENGINEERING & APPLICATION” di antara pihak industri dan pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam UiTM Cawangan Pahang. Peserta adalah para pelajar semester 4 bagi kursus Hidraulik sesi Mac – Ogos 2022.
Sesi perkongsian ilmu ini telah disampaikan oleh Ir. Zamri Mohd yang merupakan Ketua Jurutera – Infrastruktur di HSS Engineering Sdn. Bhd. Beliau mempunyai pengalaman kerja selama 23 tahun dalam bidang kejuruteraan. Sesi ini telah berjaya dilaksanakan dengan kehadiran penuh para pelajar, para pensyarah yang mengajar hidraulik dan dikendalikan oleh moderator program iaitu Dr. Siti Safirah binti Rashid melalui platform atas talian “Microsoft Teams”.
Program ini dianjurkan dengan tujuan untuk mendedahkan para pelajar dengan aplikasi kejuruteraan air di dalam lapangan pekerjaan sebenar. Kejuruteraan air ialah cabang kejuruteraan awam yang memberi tumpuan kepada projek berasaskan air. Ia mungkin termasuk rawatan air, air sisa atau pembangunan infrastruktur. Secara ringkasnya, melalui kejuruteraan air, masyarakat akan mendapat akses kepada bekalan air bersih yang berterusan yang kemudiannya boleh mereka gunakan untuk kegunaan hidup, peribadi dan komersial.
Sesi perkongsian ini sangat penting bagi pelajar sebagai titik awal munculnya idea-idea baru. Dengan berakhirnya sesi perkongsian tersebut,diharap dapat dijadikan pembelajaran sepanjang hayat kepada para pelajar khusus nya bagi subjek hidraulik dan meningkatkan pemahaman para pelajar di dunia pekerjaan sebenar. Selain itu, ianya juga sebagai salah satu usaha untuk melahirkan mahasiswa yang berkebolehan dalam menentukan prinsip kejuruteraan bekalan air yang terbaik untuk masyarakat pada masa hadapan.