UiTM Sarawak Jayakan Webinar Antarabangsa Polimer dan Perkukuh Kolaborasi Akademik Global

KOTA SAMARAHAN, 29 Oktober 2025 — Pusat Pengajian Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Samarahan 2 telah berjaya menganjurkan program “Inbound International Webinar on Polymer Chemistry” yang berlangsung dari 8 hingga 9 September 2025. Program ini dilaksanakan secara hibrid, dengan sesi hari pertama bertempat di Ruang Legar Bawah, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dan disiarkan secara langsung melalui platform Google Meet, manakala hari kedua melibatkan sesi praktikal di Makmal Sains Kimia C3022.

Program ini telah menghimpunkan seramai 52 peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan staf sokongan UiTM Cawangan Sarawak. Penganjuran ini bertujuan memperkukuh pemahaman peserta terhadap bidang kimia polimer melalui pendekatan teori dan amali, di samping membuka ruang kepada kolaborasi akademik antarabangsa.

Webinar ini menampilkan dua penceramah jemputan berpengalaman, iaitu Encik Mohd Somad, alumni Fakulti Sains Gunaan UiTM Cawangan Sarawak, dan Assoc. Prof. Dr. Mohamed Mehawed dari Tokyo Metropolitan University, Jepun. Kedua-dua penceramah telah berkongsi perkembangan terkini dalam bidang sains polimer, termasuk kaedah pemprosesan mesra alam serta perspektif penyelidikan global yang relevan dengan cabaran semasa.

Sesi praktikal bertemakan “Smart Gels for a Sustainable Future” telah memberi peluang kepada peserta untuk merasai pengalaman langsung dalam penyediaan dan pemprosesan gel polimer. Aktiviti ini turut merangkumi sesi perbincangan bersama pihak pengurusan Fakulti Sains Gunaan, yang membuka ruang kepada pertukaran idea serta memperkukuh jaringan kolaborasi antara institusi.