UiTM Melaka Perkukuh Kepakaran Perlindungan Tanaman Melalui Program Summer Antarabangsa

JASIN, 29 Oktober 2025 — Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka telah menonjolkan kepakaran akademiknya melalui penganjuran aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang berfokus kepada kawalan penyakit tanaman, serangga perosak dan rumpai dalam sistem pertanian mampan. Aktiviti ini merupakan sebahagian daripada pengisian Summer Program Antarabangsa yang telah berlangsung dengan jayanya dari 17 hingga 30 September 2025 di Kampus Jasin.

Program ini telah menarik penyertaan seramai 33 peserta antarabangsa daripada 8 buah negara dan 11 universiti ternama, termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universitas Jember (Indonesia), Can Tho University (Vietnam), Chiang Mai University (Thailand), dan Tashkent State Agrarian University (Uzbekistan).

Aktiviti kepakaran ini dikendalikan oleh tiga pakar utama dalam bidang perlindungan tanaman, iaitu Dr. Nuraini Mohd Noor (Pakar Penyakit Tanaman), Dr. Fairuz Khalid (Pakar Serangga Perosak), dan Dr. Siti Nur Anisah Aani (Pakar Kawalan Rumpai). Melalui demonstrasi lapangan dan sesi makmal, para peserta didedahkan kepada kaedah pengenalpastian penyakit dan serangga perosak tanaman, pemerhatian spesimen di bawah mikroskop, serta strategi Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM) yang berteraskan pertanian tropika lestari.

Para peserta menyatakan rasa teruja dan bersemangat apabila berpeluang mempelajari pendekatan baharu dalam mengenal pasti penyakit serta perosak tanaman. Aktiviti ini telah memberi peluang kepada mereka untuk memahami konsep perlindungan tanaman secara mampan serta menghayati kepentingannya dalam menjamin sekuriti makanan global.

Sesi ini diakhiri dengan perbincangan interaktif mengenai isu-isu semasa berkaitan penyakit tanaman utama, kesan serangga perosak kepada hasil pertanian, serta teknologi terkini kawalan rumpai yang diamalkan di negara masing-masing. Perbincangan ini membuka ruang kepada perkongsian pengalaman sebenar di lapangan serta cabaran yang dihadapi oleh industri pertanian dalam menangani ancaman perosak tanaman.

Penganjuran aktiviti ini sekali lagi membuktikan komitmen FPA UiTM Melaka dalam memperkukuh peranannya di peringkat global sebagai peneraju ilmu dan inovasi dalam bidang perlindungan tanaman serta pembangunan sistem pertanian yang mampan dan berdaya tahan.

Penulis: Dr. Nuraini Mohd Noor
Editor : Dr. Siti Nur Anisah Aani