
JOHOR BAHRU, September 2025 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya menganjurkan program Public Health Continuing Professional Development (CPD) 2025 yang berlangsung dari 10 hingga 12 September 2025 bertempat di Hotel Granada, Johor Bahru. Program bertemakan “Revolutionising Public Health: Digital, Dynamic, Game-Changing” ini telah menghimpunkan pakar, pegawai dan petugas kesihatan dari seluruh negara dalam usaha memperkukuh kemahiran dan pengetahuan terkini dalam landskap kesihatan digital.
Program ini dirangka bagi melengkapkan petugas kesihatan awam dengan pendekatan baharu yang selari dengan aspirasi kerajaan dalam menjadikan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan sebagai teras reformasi sistem kesihatan negara. Dalam ucapan perasmian, Dr. Shairul’azam Sahar, Pengarah Pusat Kesihatan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM, yang mewakili Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), menegaskan bahawa penggunaan teknologi seperti aplikasi mudah alih, Big Data dan AI mampu menjadi pemangkin kepada pencegahan awal penyakit, pengurusan sumber secara cekap, intervensi bersasar dan rawatan yang lebih berkesan.


Antara penceramah jemputan ialah Dr. Vivek Jason Jayaraj, Timbalan Pengarah Cawangan Analitik dan Informatik Data, Bahagian Kesihatan Digital, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang berkongsi hala tuju strategik pendigitalan kesihatan awam serta isu keselamatan siber dan perlindungan data pesakit. Turut hadir, Ts. Dr. Syazwan Aizat Ismail, Pensyarah Kanan dari Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), yang memberikan pendedahan berkaitan penggunaan aplikasi teknologi digital dalam pengurusan data kesihatan dan promosi kesihatan interaktif. Beliau turut mengendalikan sesi latihan amali bagi meningkatkan kemahiran peserta dalam membina dan mengaplikasikan teknologi kesihatan digital.
Program ini telah disertai oleh 55 orang petugas kesihatan daripada pelbagai organisasi termasuk institusi pengajian tinggi, pihak berkuasa tempatan dan fasiliti kesihatan awam seperti UPM, USM, UMT, UMPSA, UUM, Majlis Perbandaran Muar, Majlis Bandaraya Shah Alam, Pejabat Kesihatan Daerah Klang, Hospital Manjung dan lain-lain.
Penganjuran ini telah memperkukuh jaringan profesional serta mewujudkan kerjasama mantap antara UiTM dan pelbagai agensi dalam memperkasa perkhidmatan kesihatan awam negara. Inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu memastikan kesihatan dan kesejahteraan yang baik untuk semua lapisan masyarakat.
