ASiD MLBB Tournament Powered by Hotlink Serlah Semangat e-Sukan Pelajar Pusat Asasi UiTM Dengkil

DENGKIL, 26 Oktober 2025 — Pusat Asasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Dengkil telah berjaya menganjurkan ASiD MLBB Tournament Powered by Hotlink, sebuah kejohanan e-sukan berprestij yang mendapat tajaan bernilai RM5,000 daripada Maxis Hotlink. Program ini dianjurkan oleh Unit Sukan Pusat Asasi (USPA) di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Industry, Community & Alumni Network (ICAN) dengan kerjasama Kelab eSport Pusat Asasi.

Kejohanan ini terbuka kepada semua pelajar Pusat Asasi dan telah menerima sambutan luar biasa dengan penyertaan sebanyak 104 kumpulan, melibatkan 520 pelajar pada peringkat saringan. Satu kumpulan telah dinobatkan sebagai juara utama selepas melalui pertandingan selama dua minggu yang penuh semangat kesukanan dan strategi berpasukan. Penganjuran ini menyahut seruan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dalam memperkasakan penyertaan belia dalam bidang e-sukan yang sihat, beretika dan berimpak positif.

Majlis penutup dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Wawasan Setia Warga UiTM, diikuti bacaan doa. Ucapan aluan disampaikan oleh YBrs Dr. Noor Syahida Md Soh, Timbalan Pengarah BHEP & ICAN, yang menzahirkan rasa bangga atas kejayaan penganjuran serta penghargaan kepada Maxis Hotlink atas sokongan strategik dalam pembangunan e-sukan kampus.

Majlis turut diserikan dengan gimik perasmian yang menampilkan watak Badang, simbol kekuatan dan semangat juang yang sinonim dengan budaya e-sukan. Penyampaian saguhati diberikan kepada 32 kumpulan peserta, manakala empat kumpulan pemenang utama menerima hadiah wang tunai dan hamper: tempat pertama (RM450), kedua (RM350), ketiga (RM250) dan keempat menerima hadiah penghargaan khas. Tayangan video perjalanan pertandingan turut dipaparkan, menonjolkan semangat kerjasama dan disiplin tinggi dalam kalangan peserta.

Program ini bertujuan meningkatkan penyertaan pelajar dalam e-sukan secara sihat dan profesional, membina kemahiran komunikasi serta menyemai nilai digital yang beretika. Dari segi impak, penganjuran ini menyokong SDG 4 (Quality Education) melalui pembelajaran digital dan kemahiran abad ke-21, SDG 8 (Decent Work and Economic Growth) melalui pemupukan minat terhadap industri e-sukan, serta SDG 17 (Partnership for the Goals) melalui jalinan erat antara UiTM dan Maxis Hotlink.

Pihak penganjur menzahirkan harapan agar kerjasama bersama Maxis Hotlink dapat diteruskan pada masa hadapan, menjadikan ASiD MLBB Tournament sebagai acara tahunan yang memperkasa budaya e-sukan di UiTM Dengkil.