UiTM Pahang Perkukuh Kesedaran Konservasi Penyu Melalui Program di PKPP Cerating

KUANTAN, PAHANG, 14 Oktober 2025 – Seramai 26 orang pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti (AS255) beserta tiga orang pegawai pengiring yang terdiri daripada pensyarah Unit Biologi UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka telah menyertai Program Kesedaran Konservasi dan Pemantauan Kawasan Pendaratan Penyu yang dianjurkan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang pada Selasa 14 Oktober 2025. Program yang diadakan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cerating, Kuantan, Pahang ini turut dihadiri oleh wakil agensi luar seperti MARDI cawangan Sungai Baging, Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 3, Balai Polis Cerating dan komuniti nelayan tempatan ini berobjektif memberi satu sesi pembelajaran mengenai asas konservasi dan kesedaran penyu secara teori dan praktikal.
 
Dua orang pegawai Pejabat Perikanan Negeri Pahang iaitu En. Sahrom bin Abu Samah, selaku Ketua Pusat PKPP Cerating, dan En. Mohamad Anuar bin Roslan menyampaikan taklimat kepada para peserta berkenaan konservasi penyu yang dilakukan di Malaysia serta kepentingan konservasi terumbu karang kepada ekosistem marin.  Aktiviti yang telah dilakukan adalah pembersihan sarang telur penyu di dalam kawasan hatcheri telur penyu milik PKPP Cerating yang bertujuan membunuh kulat yang berada di dalam tanah yang boleh mendatangkan risiko jangkitan kepada telur-telur penyu di dalam sarang. Aktiviti melepaskan seekor penyu dewasa dan anggaran 1,000 ekor anak penyu berusia kurang satu minggu ke laut juga turut diadakan di Pantai Cerating berdekatan PKPP Cerating pada lewat petang. Penyu dewasa tersebut telah dipasang dengan alat pengesan yang menggunakan teknologi satelit dengan pengesanan sejauh beribu kilometer bagi tujuan memantau pergerakan dan mendapatkan data migrasi.  Aktiviti pelepasan penyu-penyu ini turut disaksikan oleh orang awam yang berkunjung ke pantai tersebut.
 
Perkongsian dan penerangan daripada kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Pahang amat membantu para pelajar AS255 memahami kepentingan memelihara dan memulihara ekosistem terumbu karang demi mengekalkan biodiversiti Malaysia sebagai salah sebuah negara daripada 17 negara di dunia yang dikategorikan sebagai ‘Negara Megadiversiti’. Usaha-usaha yang telah dilakukan oleh Jabatan Perikanan Malaysia dalam memulihara spesies penyu telah mendedahkan kepada pelajar AS255 yang hadir mengenai praktikal konservasi penyu secara ex-situ. Konservasi penyu secara praktikal serta pendedahan berkenaan pemuliharaan kawasan pantai dan terumbu karang ini selaras dengan matlamat SDG14: Life Below Water yang menekankan pemuliharaan dan penggunaan sumber lautan secara lestari demi pembangunan yang mapan. Secara keseluruhan, program ini berjaya mencapai objektifnya dan diharap supaya kerjasama seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang.