UiTM Pulau Pinang Jayakan Latihan Amali Kejuruteraan Trafik Bersama Kolej Vokasional Seberang Perai

PERMATANG PAUH, 28 Oktober 2025 – Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah melaksanakan program latihan amali bertajuk ‘Skid Resistance Test’ dan ‘Spot Speed Study’ bersama pelajar Tahun 2 Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dari Program Teknologi Pembinaan, Kolej Vokasional Seberang Perai (KV SEP). Program ini berlangsung pada 3 Oktober 2025 dari jam 8:30 pagi hingga 5:00 petang bertempat di Makmal Kejuruteraan Jalanraya dan Lalulintas, UiTM Pulau Pinang.

Program ini merupakan sebahagian daripada keperluan kursus Road and Traffic Engineering Technology (EDT3012) yang menekankan pembelajaran berasaskan amali dalam bidang kejuruteraan trafik dan jalanraya. Seramai tiga tenaga pengajar dari UiTM telah terlibat dalam menjayakan sesi ini, iaitu Puan Rozaini binti Ramli, Puan Zanariah binti Abdul Rahman dan Penolong Jurutera, Puan Suzana binti Haji Ahmad.

Sesi dimulakan dengan taklimat keselamatan dan pengenalan makmal sebelum pelajar menjalankan ujian geseran permukaan jalan bagi menilai tahap keselamatan pemanduan. Seterusnya, pelajar melaksanakan kajian kelajuan titik (spot speed study) yang melibatkan rakaman halaju sebenar kenderaan serta analisis tabiat pemanduan pengguna jalan raya. Aktiviti diteruskan dengan sesi pembelajaran kaedah analisis data kelajuan dan rintangan gelinciran.

Sepanjang program, pelajar menunjukkan penglibatan aktif dan minat tinggi dalam setiap aktiviti. Mereka berjaya mengendalikan peralatan sebenar, melakukan analisis data serta membentangkan hasil pemerhatian secara teknikal. Program ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran kerja berpasukan dan komunikasi teknikal pelajar, malah membantu mereka menghubungkan teori pembelajaran dengan situasi sebenar di lapangan.

Secara keseluruhan, program ini telah mencapai objektifnya dalam memperkukuh pemahaman pelajar terhadap aspek keselamatan jalan raya dan kejuruteraan trafik. Ia juga berjaya mempererat hubungan akademik antara KV SEP dan UiTM Pulau Pinang, selaras dengan usaha berterusan universiti dalam menyokong pembangunan pendidikan teknikal dan vokasional negara.

Editor: Zanariah Binti Abd Rahman