
Cameron Highlands, Pahang, 13 oktober 2025 – Seramai 40 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang daripada dua program pengajian – Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Biodiversiti dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Biologi – telah menyertai Program Pendidikan Biodiversiti 2025 dan Town Hall Cameron Highlands 2025 yang berlangsung selama empat hari tiga malam di Taman Eko Rimba Parit Falls, Sungai Palas, Cameron Highlands pada 1 hingga 4 September 2025.
Program anjuran Majlis Biodiversiti Pahang yang diketuai oleh Dr. Riwan bin Ramli, Timbalan Ketua Sekretariat, bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang kepentingan pemuliharaan biodiversiti di negeri Pahang. Inisiatif ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 15 – Kehidupan di Darat dan SDG 4 – Pendidikan Berkualiti, melalui pendekatan ilmiah dan pengalaman lapangan.
Sepanjang program, peserta mengikuti sesi perkongsian ilmu, aktiviti eksplorasi habitat semula jadi, serta perbincangan bersama pakar daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan PERHILITAN Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pelindung Alam Malaysia, Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands, Kompeni Bravo Batalion 165 Risik Tentera Darat, dan Pusat PERMATA@Pintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Penutup program menyaksikan peserta menjadi duta kecil kempen hargai biodiversiti melalui aktiviti edaran risalah berkaitan akta jerat kepada orang awam. Para peserta mengakui program ini memberi pengalaman bermakna dan memperkukuh kefahaman mereka terhadap konsep biodiversiti.
Secara keseluruhan, program ini menegaskan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan berilmu, beretika dan prihatin terhadap kelestarian alam sekitar. Ia juga menjadi platform strategik untuk menjalin kerjasama antara UiTM, agensi kerajaan dan institusi akademik demi pemeliharaan biodiversiti untuk generasi masa depan.
