
Jengka, 21 Oktober 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka melalui Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) terus memperkukuh hubungan strategik dengan institusi pendidikan teknikal dan vokasional melalui pelaksanaan inisiatif akademik dan pembangunan sahsiah pelajar pada 29 Spetember 2025.
Kolaborasi ini adalah sebahagian daripada komitmen UiTM untuk merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI dalam melahirkan graduan berpengetahuan, berkemahiran dan beretika. Antara pengisian utama ialah perkongsian kepakaran dalam pengurusan akademik, penerapan budaya inovasi, serta pengurusan kelab pelajar dan kepimpinan mahasiswa melalui aktiviti kokurikulum.

Menurut Dr. Nurul Nadia Abd Aziz, Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi, hubungan strategik ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, tetapi juga memperkukuh nilai profesionalisme pelajar agar mampu bersaing di peringkat global. UiTM menekankan kepentingan kolaborasi akademik sebagai pemangkin kepada pembangunan modal insan yang holistik.
Inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Jalinan untuk Matlamat, melalui usaha memperkukuh ekosistem pendidikan negara. UiTM Cawangan Pahang kekal komited untuk menjadi rakan rujuk dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan sahsiah pelajar, di samping memperluas jaringan profesional dengan institusi pendidikan teknikal dan vokasional.
Kejayaan pelaksanaan inisiatif ini diketuai oleh Dr. Mohd Amli Abdullah @ Baharum bersama jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada tenaga akademik dan pentadbiran UiTM. Komitmen padu semua pihak telah memastikan program berlangsung dengan jayanya serta memberi impak positif terhadap pengukuhan reputasi universiti sebagai institusi pendidikan tinggi yang dinamik dan berpaksikan komuniti.
