
DENGKIL, 11 Oktober 2025 – Program “Bridging STEM and Innovation for Secondary School Students” anjuran Kelab Robotik dengan kerjasama Unit Sains Komputer, Pusat Asasi UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil telah berlangsung dengan jayanya pada Sabtu bertempat di Pusat Asasi UiTM Dengkil. Program ini turut menjadi pengisian utama dalam CS Open Day 2025, sekali gus memperkukuh peranan UiTM dalam mempromosikan literasi teknologi di peringkat sekolah.
Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan interaktif dan aktiviti berasaskan teknologi. Antara pengisian menarik ialah pameran Arduino yang menampilkan 42 projek prototaip robotik dan satelit mini, serta sesi perkongsian ilmu oleh penceramah jemputan bertemakan “Navigating the Future of Technology and Cybersecurity.”


Seramai 75 pelajar dan 15 guru daripada SMK Dengkil, SMK Bandar Baru Salak Tinggi dan SMK Seri Sepang telah menyertai program ini, dibantu oleh 25 fasilitator Kelab Robotik UiTM yang memastikan kelancaran aktiviti sepanjang hari. Bagi memperkukuh hubungan universiti-sekolah, pihak penganjur turut menyampaikan Advanced Arduino Kits kepada SMK Dengkil, disempurnakan oleh Dr. Noor Syahida binti Md. Soh, Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Pusat Asasi UiTM. Sumbangan ini merupakan kesinambungan daripada program CSR IEEE SPS Tech Camp 2023.
Program ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Kualiti Pendidikan), SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) melalui kolaborasi antara universiti, sekolah dan industri. Penganjuran ini diharap dapat menyemarakkan semangat inovasi, meningkatkan literasi teknologi serta memperkukuh jaringan kerjasama komuniti, seiring aspirasi UiTM melahirkan generasi muda berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.
