UiTM Perkukuh Jaringan Akademik Antarabangsa Melalui International Mathematics Expedition (IME) 2025

Malang, Indonesia, 4 November 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengorak langkah dalam memperkukuh jaringan akademik antarabangsa apabila seramai tiga pensyarah dan 14 pelajar daripada Fakulti Sains Komputer dan Matematik telah menyertai International Mathematics Expedition (IME) 2025 yang berlangsung di Universitas Brawijaya (UB), Malang, Indonesia. Program ini bertujuan meningkatkan kolaborasi dalam bidang Matematik dan Sains Komputer serta membuka ruang kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.

Delegasi UiTM memulakan program dengan Kunjungan Hormat ke Pejabat Dekan Universitas Brawijaya pada 22 September 2025, diikuti Majlis Pembukaan Rasmi IME 2025. Majlis ini diserikan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan UB, sesi pertukaran cenderamata, dan fotografi rasmi. Aktiviti ice-breaking antara pelajar UiTM dan UB turut diadakan bagi memupuk semangat kerjasama dan persahabatan.

Sepanjang program, peserta berpeluang mengikuti lawatan akademik ke fakulti dan makmal Universitas Brawijaya, memberi pendedahan bermakna terhadap sistem pendidikan dan kemudahan pembelajaran di luar negara. Pada 24 September 2025, delegasi UiTM melaksanakan Modul STEM bertajuk “MathXpedition” di SMA Brawijaya Smart School. Aktiviti ini menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan melalui enam stesen interaktif seperti Teka-Teki Matematik, Mini Sudoku dan Bingo Matematik. Pelajar UB turut terlibat sebagai fasilitator bersama, menjadikan sesi lebih dinamik dan bersemangat.

Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk meneroka Matematik secara menyeronokkan, malah mengasah kemahiran komunikasi dan kepimpinan antarabangsa pelajar UiTM. IME 2025 membuktikan komitmen UiTM dalam memperkukuh jaringan akademik global serta membuka ruang kolaborasi lebih luas dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.