
KOTA MALANG, INDONESIA, 24 September 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah melaksanakan Program Mobiliti: Interaksi & Kolaborasi Pelajar Antarabangsa bersama Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia. Program ini berlangsung dari 29 Ogos hingga 2 September 2025 bertempat di Fakultas Ilmu Pendidikan (FIP), UM dan melibatkan penyertaan seramai 11 pelajar UiTM serta 80 pelajar dari UM.
Program ini merupakan inisiatif strategik dalam menyokong aspirasi UiTM untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, memupuk budaya pemindahan ilmu, serta meningkatkan impak global universiti kepada pelajar. Ia juga memperkukuh pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi melalui aktiviti akademik dan pertukaran ilmu.
Fokus utama program ini adalah pembangunan pelajar secara holistik melalui pendekatan pembelajaran merentas sempadan (cross-border experiential learning), pengukuhan jaringan antarabangsa, serta penghayatan nilai kemanusiaan sejagat. Inisiatif ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Kerjasama Global.

Antara sesi perkongsian ilmu yang dijalankan termasuk ceramah oleh Dr. Nurul Diyana Sanuddin (Fakulti Sains Sukan & Rekreasi) bertajuk “Body Composition and Health” dan Dr. Farah Ayuni Farinordin (Fakulti Sains Gunaan) bertajuk “Methods on Fish Identification”. Manakala pihak UM turut menyumbang melalui seminar akademik oleh Dr. Khairul Bariyyah (Penulisan Artikel), Dr. Muhibuddin Fadhli (Pembelajaran Gamifikasi), Prof. Dr. Arbin Janu Setiyowati (Kaedah Penyelidikan), dan Dr. Deka Dyah Utami (Pembelajaran Imersif).
Program ini memberi impak positif kepada pelajar UiTM dari segi peningkatan pengetahuan dalam pembelajaran moden seperti kemahiran penulisan, pembelajaran digital, serta pendedahan kepada isu serantau. Interaksi langsung dengan rakan akademik UM turut membuka peluang kepada kerjasama penyelidikan, penerbitan bersama, dan pertukaran pelajar serta staf pada masa akan datang.
Para peserta turut mendapat inspirasi daripada pengalaman rakan sebaya mereka, sekaligus membina rangkaian antarabangsa yang melangkaui sempadan negara dan memperkukuh semangat globalisasi dalam pendidikan tinggi.
