
KLANG, 30 September 2025 – Fakulti Perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Akademi Sains Malaysia (ASM), telah menganjurkan Program STI 100³ siri kedua dan ketiga yang berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan (L) Methodist ACS, Klang.
Siri kedua bertemakan “STEM Explorer: Unlocking the Signs of Human Body” telah diadakan pada 31 Julai 2025, manakala siri ketiga bertemakan “Eksplorasi Dunia Mikrobiologi & Patologi” berlangsung pada 11 September 2025. Kedua-dua sesi ini berjaya menghimpunkan seramai 221 murid Tahun 5 dan 6 serta 20 orang guru dari sekolah berkenaan.


Program ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Amirah Abdul Rahman dan disokong oleh barisan fasilitator yang terdiri daripada Dr. Muhammad Fairuz Azmi (Anatomi), Dr. Azdayanti Muslim (Mikrobiologi), dan Dr. Rose Adzrianee Adnan (Patologi Genetik), bersama staf Makmal Pelbagai Guna dan Anatomi serta pelajar pascasiswazah Fakulti Perubatan UiTM.
Antara aktiviti interaktif yang dijalankan termasuklah X-ray Detectives, Bone Builder, Body Puzzle Quest, Mystery Jar, Sound Explorer, Hand Washing & Bacteria Observation, Microscopic View of Parasites & Fungus, Yeast in Action, dan Karyotyping. Turut diperkenalkan ialah gamifikasi mini Escape the Lab yang bertemakan anatomi dan mikrobiologi, menghubungkan teori sains dengan aplikasi praktikal dalam suasana yang menyeronokkan.
Pendekatan kreatif ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada murid tentang bidang anatomi, mikrobiologi dan patologi, malah turut mengasah kemahiran pemerhatian, analisis, penyelesaian masalah serta kerja berpasukan. Program ini telah berjaya menanam minat mendalam terhadap sains dalam kalangan murid, sekali gus membuka peluang penerokaan masa depan dalam bidang perubatan dan STEM.
