Majlis Serahan Watikah Pelantikan Ceo@Faculty Programme UiTM &Taklimat Pelaksanaan Oleh KPT

SHAH ALAM, 12 SEPTEMBER 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini meraikan Majlis Serahan Watikah Pelantikan kepada 31 tokoh industri yang dilantik di bawah Program CEO@Faculty UiTM 2025.

Program CEO@Faculty, yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sejak tahun 2015, merupakan inisiatif strategik yang berperanan memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan industri. Melalui program ini, para CEO dan tokoh industri berkongsi pengalaman, kepakaran serta nilai kepimpinan bersama warga universiti. Usaha ini bukan sahaja memperkayakan
proses pembelajaran, malah menyumbang kepada pengukuhan kurikulum yang relevan dengan keperluan semasa industri, seterusnya melahirkan graduan yang holistik, kompeten dan berdaya saing di peringkat global.

Bagi tahun 2025, UiTM menerima seramai 38 orang tokoh industri melalui dua fasa pelantikan. Fasa pertama pada Januari lalu menyaksikan pelantikan tujuh (7) orang CEO, manakala pada majlis hari ini sebanyak 31 watikah pelantikan telah disampaikan.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, dalam ucapannya menegaskan bahawa program ini merupakan inisiatif berimpak tinggi yang digerakkan melalui pendekatan Quintuple Helix UiTM, selaras dengan usaha melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi turut memiliki kemahiran tinggi, daya saing global, dan kesiapsiagaan terhadap cabaran pasaran kerja. Melalui pelaksanaan program ini, para CEO yang dilantik akan menyalurkan kepakaran mereka melalui sesi syarahan, perkongsian ilmu, pengalaman serta idea secara langsung bersama pelajar dan warga UiTM bagi tempoh antara 20 hingga 30 jam. Beliau menambah bahawa penglibatan secara terus bersama tokoh industri ini membuka peluang kepada pelajar untuk memahami realiti dunia korporat, memperkukuh kemahiran insaniah, serta membina jaringan profesional yang mampu memberi nilai tambah dalam pembangunan diri dan kerjaya masa hadapan.

Beliau turut menekankan komitmen UiTM dalam menyokong agenda KPT untuk menyediakan Bakat Terbaik Negara melalui pembangunan mahasiswa yang menitikberatkan kemahiran kepimpinan, semangat komuniti, dan kurikulum yang relevan dengan kehendak industri.

Turut hadir ke majlis ini ialah Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, barisan pengurusan kanan UiTM serta tokoh industri yang dilantik.