Sidang Kemuncak Kepimpinan Belia Borneo 2025 Perkasa Pemimpin Muda Serantau

Kota Kinabalu, 8 September 2025 – Sidang Kemuncak Kepimpinan Belia Borneo atau Borneo Youth Leaders Summit (BYLS) 2025 telah berlangsung dengan jayanya dari 8 hingga 12 September 2025 di Kota Kinabalu, Sabah. Program ini dianjurkan bersempena Mesyuarat Agung Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) dengan tema “Memartabatkan Belia, Mengangkat Perintis Muda”.

BYLS 2025 merupakan inisiatif bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah dan Majlis Belia Sabah (MBS), dengan sokongan rakan kolaborasi strategik termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat Jabatan Ketua Menteri Sabah (IKRAR), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Sabah Tourism Board, Sabah Parks, Malaysia Aviation Group, SMJ Energy dan Invest Sabah Berhad.

Seramai 61 pemimpin mahasiswa dari Sabah, Sarawak dan Brunei telah menyertai sidang kemuncak ini yang bertujuan memperkasa potensi kepimpinan belia serantau. Antara objektif utama program termasuklah:

  • Memperkukuh kepimpinan belia Borneo secara kolektif
  • Meningkatkan kesedaran dan tindakan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)
  • Mewujudkan jaringan kerjasama belia rentas negara
  • Menggalakkan inovasi dan penyelesaian berasaskan komuniti
  • Menghasilkan deklarasi dan pelan tindakan belia Borneo

Program dimulakan dengan sesi pembukaan oleh Dr. Dg Ku Habibah Ag Kee, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sabah, diikuti ucaptama oleh Encik Abqaree Fawwaz Abekan, Presiden Majlis Belia Sabah bertajuk “Peranan Belia dalam Kelestarian Serantau”.

Sesi Wacana Kepimpinan Belia Borneo yang dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad dari Universiti Putra Malaysia telah menampilkan tokoh pemimpin dari Malaysia dan Indonesia iaitu Dra. Machdaniar Nisfah (Minister Counsellor, Konsulat Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu) dan Dr. Firdausi Suffian (Ketua Pegawai Eksekutif, Invest Sabah Berhad). Sesi ini membuka ruang dialog strategik mengenai isu dan cabaran belia di rantau Borneo.

Kemuncak program BYLS adalah penganjuran Borneo EDU-Hackathon yang memberi peluang kepada peserta membentangkan cadangan projek kolaboratif berasaskan isu-isu belia serantau. Hasil pembentangan tersebut mencerminkan aspirasi dan komitmen belia terhadap pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Pengerusi KUUB, Profesor Dr. Shahrul Razid Sarbini, yang turut menyaksikan penyerahan Deklarasi Memartabatkan Belia Borneo 2025 sebagai simbol komitmen belia serantau dalam memperkukuh jaringan kerjasama dan pelaksanaan agenda pembangunan mampan.

BYLS 2025 telah membuktikan bahawa belia bukan sekadar pewaris masa depan, tetapi pemacu utama dalam mencorakkan hala tuju pembangunan Borneo dan rantau Asia Tenggara secara berkesan dan berdaya saing.

Penulis:  Nurul Huda Roslan

Editor:  Ahmad Fareez Yahya