UiTM Cawangan Perlis Julung Kali Anjur Sambutan Hari Akademia 2025

Perlis, 13 Oktober 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah melakar sejarah tersendiri dengan penganjuran sulung Sambutan Hari Akademia 2025, yang berlangsung dalam suasana penuh semangat dan penghargaan terhadap warga akademik kampus pada 10 Oktober 2025.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Md Noor, Rektor UiTM Cawangan Perlis, sebagai tanda sokongan institusi terhadap usaha gigih para pensyarah dalam menjulang kecemerlangan akademik. Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh warga akademia atas komitmen dan dedikasi mereka dalam melaksanakan misi universiti.

Sambutan ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pengajaran Cemerlang bagi sesi Mac hingga Julai 2025, meliputi tiga kategori utama:

  • Student Feedback Online (SuFO)
  • Pemantauan Professionalisme Pensyarah (PRO-PENS)
  • Teaching Effectiveness Index (TEX)

Anugerah ini diberikan kepada pensyarah yang mencapai penilaian tertinggi dalam aspek mutu dan profesionalisme pengajaran, sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan dalam mempertingkatkan kualiti pendidikan tinggi.

Menambah nilai kepada sambutan, Forum Akademia bertemakan “Inspiring Teaching, Cultivate Research & Empowering Student Growth” telah diadakan sebagai platform intelektual untuk perkongsian amalan terbaik, idea dan aspirasi dalam memperkukuh ekosistem akademik yang progresif dan inklusif. Menurut Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Prof. Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim, “Hari Akademia bukan sekadar sambutan, tetapi ia adalah refleksi terhadap peranan kita dalam mendidik generasi melalui pengajaran, penyelidikan dan pembangunan pelajar.” Beliau turut menekankan bahawa kecemerlangan akademik adalah hasil semangat kolektif dan usaha berterusan warga pendidik.

Majlis ini dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Akademik (HEA) dengan kerjasama Pejabat Jaringan Industri (PJI) dan Kelab Kakitangan Akademik (KKA) UiTM Cawangan Perlis. Penganjuran ini mencerminkan semangat sinergi dan kerjasama padu antara pelbagai pihak, disokong sepenuhnya oleh pengurusan eksekutif kampus.