LingoBites 2025 Perkukuh Jalinan Komuniti Melalui Eksplorasi Budaya, Bahasa dan Kulinari

Pulau Pinang, 10 September 2025 –Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) melalui Akademi Pengajian Bahasa (APB), dengan kerjasama Persatuan Bahasa Perancis dan Kelab Bahasa Jepun, telah menganjurkan Program LingoBites 2025 yang berlangsung dalam tiga fasa pada 4 Mei, 11 Mei dan 24 Ogos 2025 di Taman Carnation, Bukit Mertajam.

Bertemakan “Penglibatan Komuniti dalam Eksplorasi Budaya, Bahasa dan Kulinari”, program ini menghimpunkan 18 penduduk Taman Carnation sebagai peserta, dengan sokongan Badan Pengurusan Bersama Taman Carnation dan Versacore Ideal Production. Matlamat utama program adalah memperkukuh jaringan komuniti setempat, memupuk minat pembelajaran tidak formal, serta menggalakkan interaksi sosial melalui pendekatan kreatif dan berimpak tinggi.

Fasa Pertama (4 Mei 2025) menampilkan aktiviti “Cultural Booth” yang memperkenalkan budaya Perancis, Jerman, Jepun dan Melayu melalui stesen bahasa, permainan dan snek budaya. Selain itu, aktiviti “English Interactive Activities” menggalakkan penglibatan aktif peserta dalam komunikasi Bahasa Inggeris melalui permainan bahasa dan teka-teki interaktif.

Fasa Kedua (11 Mei 2025) memberi tumpuan kepada modul “Cupcake Decoration” dan “Sesi Memasak Bersama Chef” yang dikendalikan oleh pensyarah Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) UiTMCPP. Peserta bukan sahaja menyaksikan demonstrasi teknik kulinari, malah berpeluang mencuba kemahiran asas menghias kek dan memasak secara praktikal.

Fasa Ketiga (24 Ogos 2025) memfokuskan kepada pembuatan roti dan pastri, termasuk penyediaan pizza dan Basque burnt cheesecake. Peserta mempelajari teknik penyediaan doh, susunan topping, proses membakar serta pemerhatian tekstur yang betul, sekali gus menggalakkan kreativiti dan semangat kerjasama.

Program LingoBites 2025 bukan sekadar inisiatif bahasa dan kulinari, tetapi juga platform memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat. Pendedahan kepada budaya pelbagai negara memberi inspirasi kepada peserta untuk lebih menghargai kepelbagaian bahasa dan budaya global.

Secara keseluruhannya, LingoBites 2025 berjaya menghubungkan UiTMCPP dengan komuniti setempat melalui aktiviti interaktif dan kreatif, sekaligus memberi nilai tambah kepada pembelajaran tidak formal serta memperkukuh jaringan sosial antara universiti dan komuniti.

Penyunting: Marni Jamil