CanSat 2025: Melahirkan Generasi Celik Teknologi dan Angkasa

DENGKIL, 11 Oktober 2025 – Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil mengorak langkah proaktif dalam memperkasa pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) melalui penganjuran CanSat Operation Challenge (COC) 2025 yang telah berlangsung dengan jayanya di kampus tersebut.

Program ini merupakan kesinambungan kepada inisiatif IoT Meets Space: Expanding STEM Horizons for Underserved Students at Selangor through Satellite Prototyping, hasil kolaborasi strategik antara pensyarah Unit Sains Komputer, Pusat Asasi UiTM Dengkil, dan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UiTM Shah Alam. Inisiatif ini turut disokong oleh IEEE Communications Society (ComSoc) menerusi geran berprestij 2025 IEEE TryEngineering STEM Grant.

Menariknya, program berimpak tinggi ini melibatkan penyertaan 50 pelajar dan 10 guru daripada dua buah sekolah menengah sekitar Selangor, iaitu SMK Bandar Baru Salak Tinggi dan SMK Seri Sepang. Para peserta diberi peluang meneroka dunia teknologi satelit mini (CanSat) dan Internet of Things (IoT) melalui sesi pembelajaran berasaskan amali (hands-on learning), yang menggabungkan teori dan aplikasi sebenar teknologi angkasa.

Acara kemuncak yang berlangsung pada 11 Oktober 2025 menyaksikan pertandingan akhir CanSat Operation Challenge, di mana para peserta mempersembahkan inovasi dan hasil kerja mereka melalui ujian penghantaran data sejauh 100 meter serta pembentangan projek di hadapan panel juri akademik dan industri.

Majlis telah dimeriahkan dengan kehadiran tetamu kehormat dan panel profesional terkemuka dari pelbagai institusi, termasuk Assoc. Prof. Dr. Mohd Fais Mansor (Universiti Kebangsaan Malaysia), Puan Rosmahwati binti Sanusi (Pengetua Cemerlang SMK Bandar Baru Salak Tinggi), Puan Serina binti Jaafar (Pengetua SMK Seri Sepang), serta Encik Muhammad Syazwan bin Johari (Chief Technology Officer, Viucom Sdn. Bhd.).

Selain membuka peluang kepada pelajar sekolah untuk meneroka bidang sains dan teknologi, program ini turut melibatkan pelajar UiTM sendiri sebagai fasilitator dan mentor, sekali gus memupuk kemahiran insaniah penting seperti kepimpinan, komunikasi, dan kerja berpasukan.

Menurut penganjur, program sebegini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti sekolah, tetapi juga membantu membina minat awal terhadap bidang STEM serta mengasah kemahiran pemikiran kritis dan kreatif dalam kalangan generasi muda. Penganjuran CanSat Operation Challenge 2025 membuktikan komitmen UiTM Dengkil dalam memperluas impak sosial universiti melalui pendidikan STEM dan inovasi teknologi, sejajar dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, berpengetahuan dan berwawasan global.