
BANGI, 11 September 2025 – Pasukan penyelidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih Pingat Emas dalam pertandingan KNOVASI 2025 anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pertandingan yang berlangsung pada 10 hingga 11 September 2025 di Bangi Avenue Convention Centre menyaksikan projek inovatif bertajuk “Revolutionizing Accounting Education: How AOTB Games Transform Non-Accounting Students’ Attitudes Toward Financial Accounting” dinobatkan sebagai pemenang utama.
Projek ini diketuai oleh Norlaila Mohd Din, bersama barisan penyelidik terdiri daripada Mohamad Azmi Nias Ahmad, Arina Nabilah Abd Latif, Iliya Dayini Imran, Norlaily Asnawi Sulaiman, Norlinda Zainal Abdul, Salehah Zafirah Zulkepli, Azizi@Hamizi Hashim, dan Junaidah Jamaluddin. Kajian melibatkan 272 pelajar Diploma semester 4 dari program Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, dengan fokus kepada pelajar bukan latar belakang perakaunan.
Intervensi yang dijalankan menggabungkan pendekatan inovatif seperti pengkodan warna debit/kredit, teknik imbangan Excel, serta penggunaan alat pembelajaran Accounting on the Block (AOTB) yang merangkumi Helirides, Balance Breaker, dan AOTB Board Games. Perbandingan antara keputusan Ujian 1 dan Ujian 2 menunjukkan peningkatan ketara dalam pemahaman konsep asas perakaunan, motivasi pelajar, serta keupayaan menghasilkan penyata kewangan yang tepat tanpa isu akaun tidak seimbang.
Kejayaan ini membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning) dalam meningkatkan literasi kewangan dan minat pelajar bukan perakaunan terhadap subjek yang dianggap kompleks. Ia juga menyokong agenda inovasi pedagogi dan membuka ruang kepada penerapan modul AOTB serta latihan pensyarah di peringkat institusi.
UiTM Pahang komited untuk terus memperkasa kaedah pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang kompeten, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran industri masa kini.
