
MALANG, INDONESIA – 25 September 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor terus memperkukuh kedudukannya di peringkat global melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universitas Negeri Malang (UM), Indonesia. Majlis penyerahan rasmi MoU telah berlangsung di Graha Rektorat UM, disempurnakan oleh YBrs. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor kepada YBrs. Profesor Dr. Hariyono, Rektor Universitas Negeri Malang.
MoU ini bertujuan memperluas jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang akademik, inovasi dan penyelidikan, serta membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan, pengalaman dan sumber antara kedua-dua institusi. Perjanjian ini turut merangkumi pelaksanaan 11 projek penyelidikan melalui Skim Geran Sepadan (Matching Grant) UiTM–UM dengan nilai keseluruhan sebanyak RM590,000.00, hasil peruntukan bersama kedua-dua universiti.

Kerjasama strategik ini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan antara Malaysia dan Indonesia. Ia seiring dengan aspirasi UiTM untuk meningkatkan perkongsian ilmu dan kepakaran secara menyeluruh demi menghasilkan impak yang lebih berdaya saing di peringkat serantau dan global.
Menurut Profesor Dr. Ahmad Taufek, pembangunan akademik dan penyelidikan yang mampan memerlukan jaringan kerjasama inklusif yang dibina atas asas nilai bersama dan matlamat sejagat. “MoU ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala, malah membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah untuk terlibat dalam projek berimpak tinggi yang menjana inovasi dan penerbitan ilmiah,” katanya.
Sehubungan itu, kedua-dua pihak komited untuk meneruskan kolaborasi dalam melaksanakan projek penyelidikan bersama, memperkaya penerbitan akademik, serta memperkukuh pembangunan pelajar melalui perkongsian kepakaran dan sumber. UiTM percaya bahawa kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada pencapaian akademik yang lebih cemerlang dan berimpak global.
