Tiny Techies 2025 Perkasa Pendidikan STEM Pelajar Sekolah di Wilayah Tengah dan Selatan

ALOR GAJAH, 14 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka dengan kerjasama MSD Alliances Sdn. Bhd., Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Makers@IIUM, dan Yayasan Sukarelawan Siswa telah berjaya menganjurkan Program Tiny Techies 2025 Peringkat Wilayah Tengah dan Selatan pada 12 hingga 14 Ogos 2025 bertempat di Dewan Taming Sari, Kampus Alor Gajah.

Program ini bertujuan memperluas akses pendidikan berkualiti dan inklusif kepada pelajar sekolah rendah dan menengah, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan, Tiny Techies memperkenalkan asas robotik dan kemahiran Internet of Things (IoT) kepada generasi muda melalui modul robotik yang direka khas.

Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta mengikuti sesi bootcamp amali pada 12 dan 13 Ogos yang memfokuskan kepada pemindahan ilmu pengekodan menggunakan kit Microbit. Mereka didedahkan kepada konsep pengaturcaraan dan aplikasi praktikal dalam reka bentuk robot mini. Kemuncak program berlangsung pada 14 Ogos melalui Pertandingan Tiny Techies, yang menyaksikan pelajar mempersembahkan ciptaan mereka dan bertanding dalam suasana penuh semangat dan kreativiti.

Seramai 70 pelajar dari 27 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI Madani) di Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor telah terpilih menyertai program ini, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif teras e-Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah Perkhidmatan Pintar NADI.

Menurut Pengarah Tiny Techies, Areehan Haji Abdullah, pemilihan peserta memberi keutamaan kepada pelajar daripada golongan B40 yang kurang mendapat pendedahan dalam bidang teknologi. “Program ini direka untuk memperkenalkan dunia pengaturcaraan dan teknologi kepada kanak-kanak sejak usia muda, dengan pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan dan interaktif,” katanya.

Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Datuk Ts. Dr. Hj. Mohd Rasdi Hj. Zaini dalam ucapan perasmian menegaskan bahawa Tiny Techies 2025 bukan sahaja memupuk pemikiran kritikal, inovasi dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar, malah berperanan merapatkan jurang digital serta memperkukuh pengetahuan STEM dalam komuniti sekolah sekitar NADI. Inisiatif ini selaras dengan komitmen UiTM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui pemerkasaan komuniti dengan pendidikan, teknologi dan inklusiviti digital.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Mohamad Rizal Ahmad, Pengarah Kanan SKMM Wilayah Tengah; Prof. Madya Dr. Yasir Mustafah, Pengarah Makers@IIUM; Prof. Madya Dr. Nur Hayati Binti Abd Rahman, Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri; Mohd Fadzly Bin Kamaruzaman, Executive Corporate Officer merangkap Pengurus Program Tiny Techies; dan Soo Yew Phong, Koordinator ICAN merangkap Pengurus Projek di UiTM Cawangan Melaka.

UiTM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang berjaya meraih pingat dalam pertandingan. Ucapan terima kasih turut ditujukan kepada komuniti sekitar NADI, alumni, serta pemain industri teknologi, khususnya MSD Alliances Sdn. Bhd. selaku penaja utama yang telah menjayakan program ini. Diharapkan Tiny Techies 2025 menjadi pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus melangkah jauh dan cemerlang dalam dunia teknologi masa hadapan.