FSKM UiTM Santuni Calon Pelajar Baharu Melalui Program Lawatan Kasih

SHAH ALAM, 24 September 2025Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah melaksanakan Program Lawatan Kasih sebagai tanda keprihatinan dan sokongan awal kepada dua calon pelajar baharu yang bakal mendaftar pada 28 September 2025. Program ini diinspirasikan oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM sebagai usaha menyantuni pelajar sebelum mereka memulakan kehidupan kampus.

Lawatan ini diketuai oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Dr. Ismadi bin Md Badarudin, mewakili Dekan FSKM, Prof. Madya Ts. Dr. Norjansalika binti Janom. Turut hadir ialah Dr. Suzana Ahmad (Ketua Kesejahteraan dan Kebajikan FSKM), Pn. Khazreen binti Kamalludin (Penolong Pendaftar HEP), dan En. Haiqal bin Nordin (Pembantu Tadbir HEP).

Destinasi pertama rombongan adalah ke Pelabuhan Klang, menziarahi calon pelajar program Sains Komputer yang berasal daripada keluarga besar dengan lapan tanggungan. Lawatan ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memberi dorongan moral kepada pelajar untuk memulakan perjalanan akademik dengan lebih yakin.

Rombongan seterusnya ke Sijangkang bagi menziarahi calon pelajar kedua yang tinggal bersama keluarga yang mempunyai ahli OKU. Walaupun berlainan latar belakang, semangat kekeluargaan dan sokongan yang dibawa oleh FSKM tetap utuh – memastikan setiap pelajar berasa dihargai dan diraikan.

Menurut Prof. Madya Dr. Ismadi, program ini mencerminkan komitmen fakulti dalam memastikan pelajar baharu bukan sahaja diterima sebagai warga UiTM, tetapi juga dirangkul dengan kasih sayang dan sokongan moral sejak dari awal. “Kami ingin pelajar tahu bahawa mereka tidak bersendirian. UiTM sentiasa bersama mereka,” ujarnya.

Sebagai tanda keprihatinan, pihak fakulti turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang perbelanjaan kepada keluarga pelajar. Inisiatif ini diharap dapat meringankan beban dan memberi keyakinan kepada pelajar dalam membuat persediaan menghadapi alam pengajian tinggi.

Program Lawatan Kasih bukan sekadar kunjungan hormat, tetapi merupakan manifestasi sokongan padu daripada FSKM kepada pelajar baharu. Usaha ini diharapkan dapat menyuntik semangat dan keyakinan agar mereka melangkah ke kampus dengan tekad yang tinggi untuk cemerlang di UiTM.

Penulis: Dr Suzana Ahmad (Editor: FSKM News Team)