Wacana Bakat Muda Sezaman (BMS29) Perkukuh Kesedaran Royalti Seni Visual di LPSVN

KUALA LUMPUR, 31 Julai 2025 – Program ilmiah bertajuk Wacana Bakat Muda Sezaman (BMS29): Forum Kesedaran Royalti Seni Visual telah berjaya dilaksanakan di Auditorium, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN). Program ini dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Seni Halus, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka UiTM Cawangan Perak, LPSVN, dan Percha Art Space, dengan kehadiran seramai 230 peserta yang terdiri daripada pelajar institusi seni, artis profesional, kolektor seni, wakil organisasi berkepentingan serta pengamal undang-undang.

Forum ini menjadi medan penting dalam mengetengahkan isu hak royalti penjualan semula Resale Royalty Rights (RRR) dalam industri seni visual tanah air. Kemuncak program ialah sesi wacana yang dimoderatorkan oleh Dr. Ishak Ramli, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak, dan menampilkan lima panel jemputan berpengalaman luas dalam bidang seni visual, perundangan dan pengurusan hak cipta, iaitu:

  • Prof. Adjung Awang Damit Ahmad (Artis Seni Visual)
  • En. Pakhruddin Sulaiman (Kolektor Seni Visual)
  • En. Amerrudin Ahmad (Ketua Pengarah LPSVN)
  • En. Mohamad Rahimi Arafpin (Penolong Pengarah MyIPO)
  • En. Alfa Booty Kesuma (Ahli Lembaga Pengarah RPM)

Sesi wacana ini telah membincangkan pelbagai aspek penting berkaitan RRR termasuk cabaran pelaksanaan, peranan institusi, dan keperluan membina sistem undang-undang yang menyokong hak seniman. Perbincangan berlangsung secara interaktif, dengan sesi soal jawab yang memberi ruang kepada hadirin untuk mengemukakan persoalan berkaitan aspek praktikal, kerangka undang-undang, serta pengalaman sebenar para panel dalam mendepani isu royalti seni visual.

Sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan sumbangan ilmu, Puan Suhaila Hashim, Pengarah Urusan Percha Art Space, telah menyampaikan cenderahati kepada semua panel jemputan serta moderator. Majlis diteruskan dengan sesi bergambar beramai-ramai sebagai dokumentasi kenangan dan simbolik kejayaan program.

Secara keseluruhan, Wacana BMS29 telah memberi impak besar dalam meningkatkan pemahaman peserta terhadap hak royalti seni visual dan kepentingan perlindungan hak cipta dalam pasaran seni yang semakin berkembang. Program ini turut membuka ruang perbincangan ke arah pembentukan dasar yang lebih inklusif serta menyemarakkan kesedaran terhadap keperluan jaringan antara seniman, institusi akademik, badan perundangan dan agensi kerajaan.

Dengan kejayaan penganjuran ini, Wacana BMS29 telah mencapai objektifnya sebagai platform dialog terbuka dan wacana ilmiah yang memperkukuh ekosistem seni visual Malaysia ke arah yang lebih adil, lestari dan progresif.