Program Teraju Pemerkasaan Usahawan Mikro Perkasa Strategi Pemasaran Digital di Jelebu

JELEBU, 2 Ogos 2025 – Seramai 20 orang usahawan mikro luar bandar telah berjaya mengikuti program Teraju Pemerkasaan Usahawan Mikro: Video Sebagai Alat Strategi Pemasaran Viral, anjuran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), UiTM Kampus Rembau dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu. Program ini dilaksanakan dalam dua modul utama yang memberi penekanan kepada penggunaan video sebagai strategi pemasaran berimpak tinggi.

Modul pertama bertemakan “Konten Visual dan Pembuatan Video Pemasaran Viral” telah berlangsung secara dalam talian pada 29 Julai 2025, memberi fokus kepada elemen konten yang relevan dalam penghasilan video pemasaran. Modul kedua pula telah dijalankan secara bersemuka pada 2 Ogos 2025 di Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu dengan tajuk “Pembuatan Video Pemasaran Viral Menggunakan Canva & CapCut di Telefon Pintar”, yang menekankan kemahiran praktikal merancang, merakam dan menyunting video menggunakan aplikasi mudah akses seperti Canva dan CapCut.

Sepanjang program, para peserta telah dibimbing oleh sembilan fasilitator yang terdiri daripada pensyarah FPP, yang memainkan peranan penting dalam membantu para usahawan menyediakan konten bersesuaian serta menghasilkan video pemasaran menggunakan telefon pintar masing-masing. Hasilnya, kesemua peserta berjaya menghasilkan video pemasaran mereka sendiri, termasuk mereka yang sebelum ini tidak pernah menghasilkan sebarang video promosi.

Program ini selari dengan aspirasi UiTM untuk menyumbang kepakaran kepada pembangunan masyarakat setempat dan menyokong agenda nasional dalam pendigitalisasian sektor mikro. Ia juga menyumbang secara langsung kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya:

  • SDG 1: Tiada Kemiskinan
  • SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi

FPP berharap program ini dapat memperkukuh hubungan antara UiTM dan komuniti setempat serta membuktikan komitmen universiti dalam penglibatan bersama masyarakat. FPP juga berhasrat untuk menjadikan inisiatif ini sebagai platform berterusan dalam memperkasa ekonomi luar bandar dan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan mikro, bukan sahaja di daerah Jelebu, malah di seluruh Negeri Sembilan.