UiTM Eco Centric Menawan Pingat Perak di FIRA RoboWorld Cup 2025

JASIN, 5 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang teknologi robotik apabila pasukan UiTM Eco Centric berjaya meraih tempat kedua dan membawa pulang Pingat Perak dalam kategori Urban Driving Autonomous Car Challenge sempena Kejohanan Malaysia FIRA RoboWorld Cup ke-18 yang berlangsung di Politeknik Merlimau Melaka dari 21 hingga 26 Jun 2025.

Pasukan UiTM Eco Centric diketuai oleh Ir. Ts. Gs. Dr. Mohamad Farid Misnan dari Institut Pembuatan Pintar, bersama empat pelajar cemerlang dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik: Muhammad Farez Amirul bin Khairulhisham, Muhammad Faris Izdihar bin Abdul Aziz, Muhammad Fareez Asyraf bin Istas Fahrurrazi, dan Nur Aleyasha binti Mohd Johan. Kejayaan mereka membuktikan keupayaan tinggi dalam pembangunan sistem pemanduan autonomi, integrasi penderia pintar, serta pemprosesan keputusan masa nyata—komponen utama dalam teknologi mobiliti pintar dan Revolusi Industri 4.0.

Urban Driving Autonomous Car Challenge merupakan salah satu kategori paling mencabar dalam kejohanan tersebut, yang menuntut tahap ketepatan teknikal dan inovasi yang tinggi. Kejohanan Malaysia FIRA RoboWorld Cup sendiri merupakan platform berprestij yang menghimpunkan pasukan terbaik dari seluruh negara, serta mendorong kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi, sektor industri, dan komuniti antarabangsa.

Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UiTM di peringkat kebangsaan, malah mencerminkan komitmen universiti dalam memperkasakan penyelidikan berasaskan industri, inovasi teknologi, dan pembangunan bakat muda. Ia juga selari dengan aspirasi UiTM untuk kekal sebagai sebuah institusi yang “Globally Renowned and Locally Rooted”, dalam usaha melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu bersaing di peringkat global.

UiTM mengucapkan tahniah kepada pasukan Eco Centric atas pencapaian membanggakan ini dan berharap kejayaan tersebut akan menjadi inspirasi kepada warga universiti untuk terus mencipta kecemerlangan dalam bidang teknologi dan inovasi.