UiTM dan UPI Perkukuh Jaringan Pendidikan Serantau Melalui ICCSEE 2025 di Bandung

Bandung, Indonesia | 13 Julai 2025 – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan terus memperkukuh jaringan pendidikan antarabangsa melalui pelaksanaan program mobiliti, jaringan pendidikan global, tanggungjawab sosial universiti (USR), serta inisiatif i-SULAM Antarabangsa bersama Fakultas Pendidikan Olahraga dan Kesehatan (FPOK), Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Bandung.

Program “International Cross-Cultural Sports Education Exchange 2025” (ICCSEE 2025) edisi ketiga telah berlangsung dari 13 hingga 20 Julai 2025, meneruskan kesinambungan kejayaan edisi terdahulu pada tahun 2023 dan 2024. Bertemakan “Empowering Global Youth through Sport, Education, and Community Engagement in the Era of Sustainability,” ICCSEE 2025 menjadi platform strategik yang menghimpunkan mahasiswa dan pensyarah dari Malaysia dan Indonesia untuk memperkukuh kefahaman silang budaya serta memperluas pengetahuan dalam bidang Pengurusan Sukan dan Sains Sukan.

Program ini merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoA) antara UiTM dan UPI yang memberi fokus kepada kolaborasi akademik dalam bidang Sains Sukan dan Pengurusan Sukan. Delegasi UiTM yang diketuai oleh Puan Wahidah binti Tumijan, Ketua Pusat Pengajian FSR, terdiri daripada 9 orang pensyarah dan 23 orang mahasiswa dari Kampus Seremban.

Sepanjang program, delegasi UiTM telah melawat fasiliti sukan dan akademik FPOK UPI bagi memahami pendekatan pendidikan jasmani dan sains sukan yang diamalkan di Indonesia. Antara acara kemuncak ialah Fiesta Sukan Olahraga Tradisional yang melibatkan penyertaan mahasiswa dari kedua-dua institusi, sekali gus memperkenalkan warisan sukan tradisional Indonesia kepada peserta Malaysia.

Program turut diserikan dengan sesi Pemindahan Ilmu (Knowledge Transfer Program) dan pembentangan dalam Webinar Nasional Pendidikan Jasmani (PenJas) 2025 oleh wakil FSR, Dr. Raja Nurul Jannat Raja Hussain, yang membawakan topik “Revitalisasi Pendidikan Jasmani.” UiTM juga memainkan peranan sebagai Rakan Penganjur (Co-Host) dalam International Seminar on Physical Education, Sport & Health (5th ISPESH 2025), yang membuka ruang kepada pensyarah dan pelajar FSR untuk membentangkan hasil penyelidikan kepada komuniti akademik antarabangsa.

Pelaksanaan ICCSEE 2025 secara langsung menyumbang kepada pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) fakulti dan menyokong aspirasi UiTM ke arah mencapai status Globally Renowned University (GRU 2025).

UiTM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dalam menjayakan program ini. ICCSEE 2025 diharap dapat dijadikan sebagai model kerjasama akademik serantau yang mampan dan berimpak tinggi untuk masa hadapan.