
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2025 – Persatuan Penganjur dan Pembekal Konvensyen & Pameran Malaysia (Malaysian Association of Convention & Exhibition Organisers & Suppliers – MACEOS), dengan kerjasama Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, telah melancarkan Sustainability Event Framework (SEF) atau Kerangka Acara Lestari sebagai satu inisiatif strategik untuk memperkasa amalan kelestarian dalam industri acara negara.
Pelancaran rasmi SEF telah berlangsung sempena penganjuran EventXpo 2025 edisi kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dan disaksikan oleh pemimpin industri, wakil akademia, serta pihak berkepentingan utama dari sektor acara dan pameran. Turut hadir ialah wakil institusi pengajian tinggi dan politeknik yang menyokong usaha memperkukuh ekosistem acara yang lebih mampan.
Menurut Naib Presiden MACEOS, En. Yusno Yunos, kategori yang digariskan dalam SEF merangkumi aspek paling kritikal yang memberi kesan kepada alam sekitar dalam penganjuran pelbagai jenis acara. Beliau menjelaskan bahawa contoh-contoh acara berkonsepkan lestari yang dikongsikan dalam kerangka ini bukan sahaja menjadi panduan praktikal kepada penganjur, malah membantu pemain industri melaksanakan amalan kelestarian secara lebih strategik dan berkesan.
Antara cadangan amalan terbaik yang diketengahkan dalam SEF termasuk penggunaan pencahayaan cekap tenaga bagi kategori Tenaga, penggabungan penghantaran logistik untuk kategori Pengangkutan dan Logistik, serta kerjasama dengan hotel mesra alam di bawah kategori Penginapan. Bagi kategori Digital dan Komunikasi, pendekatan komunikasi tanpa kertas digalakkan, manakala bagi kategori Perjalanan, penekanan diberikan kepada penggunaan pengangkutan awam dan penglibatan komuniti setempat sebagai langkah memperkukuh impak sosial dan alam sekitar.
Kerangka ini dijangka menjadi rujukan utama kepada penganjur acara di seluruh negara dalam usaha menyokong Dasar Kelestarian Nasional serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pelancaran SEF menandakan komitmen berterusan UiTM dan MACEOS dalam memperkukuh kerjasama antara akademia dan industri, serta mempercepatkan transformasi sektor acara ke arah pembangunan yang lebih hijau, inklusif dan bertanggungjawab.
