UiTM Cawangan Terengganu Perintis Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) @ Kampus

DUNGUN, 22 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Terengganu, Kampus Dungun mencatat sejarah sebagai institusi pengajian tinggi pertama di Negeri Terengganu yang menganjurkan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM)@Kampus. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, bertujuan meringankan beban kos sara hidup mahasiswa melalui pendekatan berimpak tinggi.

Program yang berlangsung di Koperasi Siswa UiTM Dungun Berhad telah memberi manfaat kepada lebih 6,000 pelajar dengan penawaran sebanyak 78 barangan keperluan harian (SKU) pada harga istimewa, iaitu potongan antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran. Barangan yang ditawarkan merangkumi makanan kering, alat tulis, keperluan pembelajaran dan ubat-ubatan, selaras dengan keperluan harian pelajar.

Majlis pelancaran rasmi telah disempurnakan oleh Pengarah KPDN Terengganu, Tuan Mohd Mufsi bin Lat, dan disaksikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Terengganu, Profesor Madya Ts. Dr. Sarifah Fauziah Syed Draman.

Menambah nilai kepada penganjuran, program ini turut mendapat sokongan padu daripada Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun yang ditubuhkan pada tahun 2025. Walaupun masih baharu, GPS telah menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan PJRM@Kampus sebagai platform advokasi kepenggunaan yang dikendalikan sepenuhnya oleh mahasiswa.

Menurut pihak pengurusan UiTM, inisiatif ini bukan sahaja membantu pelajar berjimat, malah menyemai budaya pengguna bijak dan bertanggungjawab dalam kalangan warga kampus. UiTM Cawangan Terengganu berbangga menjadi perintis kepada pelaksanaan PJRM@Kampus di negeri ini dan komited untuk terus menyokong usaha kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup mahasiswa secara inklusif, mampan dan berteraskan semangat MADANI.