Program Kod & Cipta : Eksplorasi Arduino Perkasa Warga SMK Dengkil Anjuran UiTM Dengkil

Dengkil, 16 Ogos 2025 – Kelab Robotik dengan kerjasama Unit Sains Komputer UiTM Cawangan Selangor Kampus Dengkil telah berjaya menganjurkan Program Khidmat Masyarakat berfokuskan pembelajaran Arduino dan reka cipta prototaip bersama pelajar serta guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil (SMK Dengkil). Program sehari ini berlangsung meriah di makmal komputer dan dewan kuliah UiTM, menghimpunkan lebih 100 peserta dan fasilitator.

Program yang diadakan ini memberi tumpuan kepada penerapan teknologi Arduino dalam kalangan pelajar dan guru, khususnya berkaitan mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Asas Sains Komputer (ASK). Pendedahan ini seiring dengan kepentingan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang menekankan aspek Internet of Things (IoT), elektronik, dan pengaturcaraan sebagai kemahiran masa depan.

Seramai 50 orang pelajar dan lapan orang guru SMK Dengkil menyertai bengkel berstruktur ini. Mereka dibahagikan kepada sepuluh kumpulan kecil yang dibimbing oleh pensyarah Unit Sains Komputer serta dibantu oleh 27 fasilitator daripada ahli Kelab Robotik. Sebanyak empat orang penceramah turut mengetuai sesi perkongsian ilmu, menjadikan suasana pembelajaran lebih interaktif dan tersusun.

Sepanjang program, peserta diberi penerangan asas tentang penggunaan papan litar Arduino serta teknik membangunkan prototaip inovatif. Seterusnya, mereka melaksanakan projek kumpulan bagi mengaplikasikan ilmu yang dipelajari. Projek-projek yang dihasilkan menampilkan pelbagai idea kreatif.

Pada sesi penutup, satu majlis penjurian telah dijalankan bagi memilih tiga projek terbaik. Hasil kerja kumpulan yang menonjol diberi pengiktirafan dan hadiah sebagai tanda penghargaan. Majlis turut diserikan dengan ucapan penghargaan daripada wakil UiTM Dengkil dan SMK Dengkil yang menekankan kepentingan kolaborasi institusi pendidikan tinggi bersama sekolah menengah. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan pelajar tentang teknologi terkini, malah memperkukuh kemahiran kerja berpasukan, kreativiti, serta keyakinan diri. Bagi guru pula, program ini membuka peluang untuk menambah pengetahuan praktikal yang relevan dengan pengajaran RBT dan ASK di sekolah.

Program ini turut memenuhi beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuk SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Disenangi dan Pertumbuhan Ekonomi), SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), serta SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat). Penganjur berharap agar usaha ini memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti, membuka peluang kerjasama lebih luas antara sekolah dan universiti, serta menjadi pemangkin kepada lahirnya generasi celik teknologi yang mampu memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat dan pembangunan negara.