
JENGKA, 18 Ogos 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Jengka terus komited dalam usaha memperkasa minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui penganjuran program “Talk With Alumni”. Program ini dianjurkan oleh Persatuan Diploma Sains (PERDIPSA) di bawah Pusat Pengajian Sains (PPS) sebagai platform perkongsian ilmu dan motivasi daripada alumni yang kini aktif membina kerjaya dalam bidang berkaitan STEM pada 22 Jun 2025.
Program tersebut telah menghimpunkan lebih 200 pelajar dan menampilkan dua alumni Diploma Sains UiTM yang kini berjaya dalam bidang masing-masing. Syarifah Nurin, graduan Ijazah Sarjana Muda Kimia Forensik dan kini bertugas sebagai eksekutif di sebuah syarikat multinasional, berkongsi pengalaman kerjayanya serta menekankan bahawa bidang STEM menawarkan peluang luas merentasi pelbagai sektor profesional. Beliau turut menekankan kepentingan kemahiran berfikir secara kritis, membuat keputusan dan komunikasi berkesan sebagai nilai tambah dalam dunia kerjaya masa kini.
Turut hadir ialah Marsya Fatima, graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan, yang berkongsi perjalanan akademiknya dari laluan Diploma Sains hingga berjaya menempatkan diri dalam bidang perubatan. Beliau turut memberi panduan praktikal kepada pelajar yang berminat untuk mengikuti jejak langkahnya, sekali gus membuktikan bahawa lepasan diploma juga berpeluang cerah untuk bersaing setanding dengan lepasan Matrikulasi, Asasi dan STPM.

Perkongsian kedua-dua alumni ini telah menyuntik semangat dan keyakinan kepada pelajar, khususnya mereka yang bercita-cita untuk menyertai bidang profesional seperti perubatan dan sains forensik. Program ini juga menjadi bukti usaha berterusan PPS dalam mengukuhkan jaringan strategik bersama alumni, di samping menyemai kesedaran tentang peranan bidang STEM dalam pembangunan negara.
Penganjuran program ini amat signifikan dalam konteks semasa, memandangkan statistik menunjukkan penurunan minat pelajar terhadap bidang STEM di Malaysia. Situasi ini membimbangkan kerana sektor STEM merupakan tunjang kepada inovasi, kemajuan teknologi dan daya saing negara. Dalam masa yang sama, Malaysia turut berusaha meningkatkan bilangan doktor bagi menampung keperluan sistem kesihatan awam, selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai nisbah doktor-pesakit yang ideal.
Program “Talk With Alumni” secara langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Kualiti Pendidikan, dengan memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan peluang pembelajaran sepanjang hayat. UiTM Cawangan Pahang bertekad untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkasa modal insan melalui pendekatan pendidikan yang relevan, inklusif dan berimpak tinggi.
