
KOTA KINABALU, 30 Julai 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah telah mencipta satu lagi kejayaan membanggakan apabila berjaya memperoleh dana sokongan daripada Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet), rangkaian pembayaran kebangsaan yang terkemuka di Malaysia melalui projek “Cashless Prestiva” sempena sesi First Pitch PayNet Digital Campus 4.0 pada 30 Julai 2025.
Dana yang diterima sebanyak RM40, 000 ini merupakan sebahagian daripada inisiatif PayNet dalam menyokong pembangunan komuniti belia melalui pelbagai program kemasyarakatan, digitalisasi, dan peningkatan literasi kewangan. Kejayaan MPP UiTM Cawangan Sabah hasil daripada usaha gigih kolaborasi pemimpin pelajar yang diketuai oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Sabah memperoleh dana ini daripada pembentangan kertas cadangan yang mantap dan berwawasan, sekaligus menampilkan komitmen mereka dalam memperjuangkan kepentingan mahasiswa serta pembangunan kepimpinan belia.
Ucapan terima kasih setinggi-tingginya ditujukan kepada Rektor, Profesor Madya Dr Rozita @ Uji Mohammed dan Timbalan Rektor HEP, Dr Dg Ku Habibah Ag Kee di atas bimbingan dan sokongan yang tidak ternilai sepanjang tempoh persediaan dan pembentangan kertas kerja.
Bendahari Kehormat MPP UiTM Cawangan Sabah, Saudari C’Celine Levi memaklumkan bahawa dana ini akan digunakan untuk melaksanakan beberapa program utama termasuk Karnival Keusahawanan, program pembangunan kepimpinan pelajar, projek komuniti dan kesukarelawanan serta kempen sedekah. Usaha memperluaskan penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan mahasiswa
Dengan pencapaian ini, MPP sekali lagi membuktikan keupayaan mereka sebagai perwakilan pelajar yang proaktif, inovatif dan bersedia untuk menerajui perubahan ke arah masa depan yang lebih mampan. Kejayaan ini menggambarkan komitmen UiTM Sabah dalam mempromosikan dan menyokong inovasi dalam bidang digital dan keusahawanan, serta menegaskan peranan penting institusi ini dalam melahirkan graduan yang berkemampuan holistic dan bakal memimpin masa hadapan.
