FSKM UiTM Shah Alam Jayakan Program Math Outreach Kali Ke-2 di MRSM Gemencheh

Shah Alam, 19 Julai 2025Pusat Pengajian Sains Matematik, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah berjaya menganjurkan Program Math Outreach kali ke-2 bertempat di MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan pada 19 Julai 2025. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha University Social Responsibility (USR) bagi memupuk minat pelajar terhadap bidang sains matematik dan mengubah persepsi bahawa matematik adalah subjek yang sukar serta membosankan.

Program yang berlangsung sepanjang hari itu melibatkan lebih 120 orang pelajar Tingkatan 4, dengan penglibatan aktif seramai 14 orang pensyarah. Antara pengisian utama adalah dua aktiviti interaktif iaitu Math Detective, yang memberi fokus kepada topik Vektor dalam subjek Matematik Tambahan, dan Math Career Role Play, yang memperkenalkan pelajar kepada pelbagai kerjaya berasaskan sains matematik. Pendekatan hands-on dan menyeronokkan ini berjaya mencetuskan minat mendalam serta membuka perspektif baharu dalam kalangan pelajar terhadap bidang STEM.

Program ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan program sulung yang diadakan di MRSM Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 16 Ogos 2024, yang turut menerima sambutan menggalakkan. Penganjuran kali ini memperkukuh komitmen FSKM UiTM dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan STEM di peringkat sekolah menengah.

Menurut wakil FSKM, impak program ini amat memberangsangkan dari sudut aspirasi akademik, pemupukan minat kerjaya STEM dan pengukuhan sinergi institusi-sekolah. Ia juga sejajar dengan aspirasi negara untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, seiring dengan perkembangan teknologi dalam era Revolusi Industri 4.0 dan 5.0.

Program ini mencerminkan nilai Sinergi yang ditekankan oleh UiTM — bekerjasama rapat untuk memaksimumkan produktiviti dan manfaat kepada industri, komuniti dan negara secara menyeluruh.

Penulis: Dr Rinie Narinie Mohd Nasir (Editor: Farahnatasyah Abdul Hanan -FSKM News Team)