
Jengka, 28 Jun 2025 – Organization of Biodiversiti (ORBID) dari Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Pahang telah berjaya menganjurkan sebuah forum dalam talian bertajuk “Sustainable Living and Implications for Future Uses”, yang bertujuan meningkatkan pemahaman peserta tentang kepentingan kehidupan secara mampan serta memupuk kesedaran komuniti terhadap penjagaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
Forum ini telah disertai oleh 70 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UiTM, alumni dan ahli akademik. Program ini menampilkan tiga panel jemputan yang mewakili sektor industri, alumni dan akademia, bagi membincangkan isu kehidupan mampan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
Panel pertama, Encik Harith Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The Green Factory Sdn. Bhd., berkongsi pengalaman beliau dalam mengubah model perniagaan syarikat agar selari dengan matlamat pembangunan mampan (SDG), serta menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak untuk mencapai objektif tersebut. Panel kedua, Cik Nur Qistina binti Faithal Reiman, Pegawai Eksekutif ESG dari Johor Port Sdn. Bhd. dan alumni program AS255 UiTM Cawangan Pahang, memberikan perspektif industri berkaitan hala tuju dan cabaran dalam pelaksanaan amalan hijau. Panel ketiga, Cik Siti Suhaila binti Harith, pensyarah kanan UiTM Cawangan Pahang, berkongsi dapatan kajian berkaitan pengurusan sisa buangan dan impaknya terhadap alam sekitar serta masyarakat.


Antara input penting yang dikongsikan termasuk penekanan terhadap amalan 3R (reuse, reduce, recycle) dan kecekapan tenaga dalam kehidupan seharian sebagai langkah individu menyokong gaya hidup mampan. Para panel turut menyatakan bahawa pelaksanaan amalan mampan secara menyeluruh mampu mengurangkan degradasi alam sekitar dan menyumbang kepada keseimbangan ekologi jangka panjang. Forum ini juga membincangkan cabaran industri dalam menyokong pelaksanaan amalan hijau serta kepentingan polisi, pendidikan dan amalan harian sebagai elemen utama dalam memacu transformasi masyarakat ke arah pencapaian SDG negara.
Maklum balas positif daripada peserta melalui penilaian keberhasilan menunjukkan bahawa forum ini telah berjaya memberi nilai tambah kepada pemahaman dan kesedaran peserta tentang kepentingan kehidupan secara mampan. Diharapkan program ini akan terus memberi manfaat kepada generasi akan datang dan menjadi pemangkin kepada perubahan gaya hidup yang lebih lestari.
