UiTM Sabah Raih Johan Berganda dalam Istiadat Perbarisan Rasmi TYT Sabah 2025

Kota Kinabalu, 21 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah mencatat sejarah membanggakan apabila meraih kemenangan berganda sebagai Johan Kategori IPTA/IPTS dan Johan Kategori NGO Negeri Sabah dalam Istiadat Perbarisan Sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tahun 2025.

UiTM Sabah menghantar dua kontijen yang masing-masing terdiri daripada 36 orang Komander Kesatria UiTM Cawangan Sabah dan 36 orang pelajar Perantis Muda UiTM yang bergandingan bersama Majlis Belia Sabah (MBS). Kedua-dua kontijen telah menunjukkan persembahan kawad kaki yang cemerlang dan penuh disiplin, sekali gus mengangkat nama UiTM di peringkat negeri.

Kejayaan ini merupakan pengiktirafan terhadap komitmen dan kecemerlangan pasukan beruniform UiTM yang digerakkan di bawah Unit Kokurikulum, diketuai oleh Encik Mohd Khairun Hafizan Yusop, dengan sokongan Encik Amburos Bibis dan Cik Princessayangsheriezuraini Lawrence. Latihan intensif dan komprehensif yang dijalankan bersama Jurulatih Cikgu Noorazilah Noorsalin telah membentuk pasukan yang mantap dari segi disiplin, koordinasi dan semangat berpasukan.

Penyertaan dalam pertandingan kawad kaki seperti ini bukan sahaja memperkukuh jati diri dan ketahanan fizikal serta mental pelajar, malah menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan kepimpinan. Ia juga selari dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan berdisiplin tinggi, sejajar dengan nilai teras universiti dan agenda pembangunan pelajar.

Kemenangan berganda ini membuktikan bahawa UiTM bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, malah cemerlang dalam pembentukan karakter dan kepimpinan pelajar melalui platform kokurikulum yang berstruktur dan berimpak tinggi.