UiTM Pahang Terima Lawatan Akademik KV SHAS Bagi Perkasa Kerjasama Teknologi Pembinaan

Jengka, 11 Jun 2025 – Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah menerima kunjungan rasmi dari Kolej Vokasional Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah (KV SHAS), Kuala Lipis dalam usaha memperkukuh jaringan akademik dan makmal antara dua institusi pendidikan. Lawatan tersebut diketuai oleh Ts. Mohd Ariff Bin Mustaffa @ Azhar selaku Ketua Program Teknologi Pembinaan, dan disertai seramai 10 orang pensyarah KV SHAS termasuk Ketua Jabatan Teknologi Awam, En. Che Norazlin Bin Che Mat.

Lawatan ini bertujuan untuk menjadikan FKA UiTM Cawangan Pahang sebagai rujukan dalam mempertingkatkan mutu pengajaran dan kemudahan sokongan untuk Program Teknologi Pembinaan di KV SHAS Kuala Lipis. Delegasi disambut mesra dalam satu sesi perkongsian ilmu yang berlangsung pada sebelah pagi dan dipengerusikan oleh Dr. Nur Azzimah Zamri, mewakili Ketua Pusat Pengajian FKA. Sesi turut disertai oleh Ketua-ketua Bidang dan Penyelaras Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (BTecH).

 

Hasil perbincangan membuahkan persetujuan bagi memeterai Nota Persefahaman (NoU), termasuk kerjasama dalam penggunaan kemudahan makmal dan pelantikan wakil FKA UiTM sebagai ahli Technical Advisory Committee (TAC) bagi menyokong pemerkasaan program vokasional KV SHAS dari aspek teknikal dan akademik.

Delegasi KV SHAS turut dibawa meninjau fasiliti makmal seperti makmal kaji ukur, struktur ringan dan berat, geoteknik, jalan raya, geologi, pengurusan bangunan serta makmal lukisan yang merupakan aset penting dalam sokongan pembelajaran praktikal di FKA. Lawatan berakhir pada jam 2.00 petang dan diharap mampu merintis hubungan kolaborasi yang lebih erat antara kedua-dua institusi ke arah pembangunan akademik serta kemahiran teknikal pelajar vokasional dan kejuruteraan secara lebih inklusif dan berdaya saing.