Rakan Muda Turun Kampus: YB Hannah Yeoh Santuni Mahasiswa UiTM Selangor

Puncak Alam, 20 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor (UCS) dengan kerjasama erat Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan Program Rakan Muda Turun Kampus peringkat UiTM, sebuah inisiatif bertunjangkan hasrat YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan Malaysia, untuk mendekatkan kementerian dengan golongan mahasiswa secara lebih terbuka dan inklusif. Program berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah DK500, Kampus Puncak Alam, dengan penyertaan aktif warga UiTM termasuk staf akademik dan pentadbiran serta para pelajar dari pelbagai fakulti.

Inisiatif ini bertujuan memberi ruang kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menyuarakan aspirasi, pandangan dan cadangan secara langsung kepada pimpinan tertinggi KBS, khususnya dalam hal ehwal pembangunan belia, sektor sukan dan pelaksanaan program Rakan Muda. Keberadaan YB Hannah Yeoh selaku tetamu utama telah memacu sesi perkongsian maklumat yang berkesan mengenai pelbagai inisiatif Kerajaan MADANI yang dirangka khas untuk meningkatkan kesejahteraan belia negara.

Turut hadir menyambut kehadiran YB Menteri ialah YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UCS, diiringi oleh YBrs. Profesor Dr Norazmir Md Nor, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UCS. Sesi dialog dan soal jawab bersama mahasiswa yang berlangsung dalam suasana interaktif dan terbuka membuktikan keterbukaan kementerian dalam menerima input langsung daripada golongan muda yang menjadi nadi masa depan negara.

Penganjuran program ini dilihat sebagai langkah strategik yang memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan tinggi dan badan pentadbiran awam, serta memperkasakan mahasiswa sebagai kelompok pemimpin masa depan yang berwawasan, peka dan berdaya saing. Program ini juga mencerminkan komitmen UiTM dalam menyemarakkan budaya keterlibatan aktif mahasiswa dan memperkukuh nilai graduan holistik, seiring dengan matlamat pembangunan belia dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

Penulis: Nor Azyyati Md Saad