UiTM dan Politeknik Negeri Bali Jayakan Forum Antarabangsa Ergonomik untuk Wanita Aktif

SHAH ALAM, 17 Jun 2025 – Kesedaran terhadap kepentingan ergonomik dalam kehidupan seharian wanita terus diperkasa melalui penganjuran forum bertajuk “Smart Ergonomics for Active Women: Healthy, Comfortable and Productive” anjuran Kolej Melati, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, di bawah Exco Aduan dan Kebajikan Jawatankuasa Perwakilan Kolej, pimpinan Saudari Nuraini Ahmad Safie.

Bertempat di Dewan Platinum Melati, forum ini menghimpunkan panel jemputan dari dalam dan luar negara, menjadikannya platform antarabangsa yang membincangkan isu kesihatan dan kesejahteraan wanita dari perspektif ergonomik.

Forum ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Politeknik Negeri Bali, Indonesia, dan Kolej Melati UiTM, dengan objektif memperkukuh kesedaran serta memupuk amalan ergonomik dalam kalangan wanita, khususnya mahasiswa yang aktif dalam akademik dan kokurikulum.

Antara panel jemputan ialah Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UiTM, yang menekankan peranan ergonomik dalam meningkatkan kualiti hidup dan produktiviti wanita. Turut serta, Prof. Dr. Ir. Lilik Sudiajeng dari Politeknik Negeri Bali, yang berkongsi pendekatan inovatif dalam pendidikan ergonomik di peringkat antarabangsa.

Sesi forum dikendalikan secara dinamik oleh Saudari Nur Syavikah Kamal Ariffin, mahasiswi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM. Para peserta didedahkan kepada konsep asas ergonomik, kesan postur tidak betul terhadap kesihatan jangka panjang, serta amalan praktikal untuk keselesaan semasa belajar, bekerja dan beraktiviti.

Menurut wakil penganjur, forum ini menjadi titik tolak kepada gerakan kesedaran ergonomik dalam kalangan pelajar wanita.

“Sebagai Srikandi Melati, kami ingin melahirkan wanita muda yang sihat, berkeyakinan dan produktif. Ergonomik bukan isu remeh – ia mempengaruhi prestasi dan kesejahteraan jangka panjang,” ujar beliau.

Kehadiran delegasi Politeknik Negeri Bali turut menyerlahkan dimensi pertukaran ilmu antara dua institusi serantau, sejajar dengan aspirasi globalisasi pendidikan dan pembangunan wanita secara inklusif.

Dengan sambutan menggalakkan dan maklum balas positif, forum ini diharap dapat dijadikan acara tahunan dan diperluaskan skopnya agar lebih ramai wanita muda celik ergonomik dan mampu menjaga kesihatan diri dalam dunia yang semakin mencabar.