Sukarelawan UCS Warnai Kehidupan Kanak-Kanak Orang Asli Dengan Aktiviti Interaktif

SHAH ALAM – Unit Kokurikulum, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Selangor (UCS) dengan kerjasama Persatuan Briged Sukarelawan telah menyertai Program Turun Padang
Kampung Orang Asli bertempat di Dewan Orang Asli, Bukit Bandaraya, Shah Alam pada 14 Jun 2025. Tujuan program ini dijalankan adalah untuk memupuk semangat kesukarelawanan dalam
kalangan mahasiswa di samping memperkasa hubungan silaturahim antara institusi pengajian tinggi dan komuniti Orang Asli.

Program anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersama Lembaga Zakat Selangor ini menyaksikan penyertaan seramai 9 orang sukarelawan dari Kampus Puncak Alam, UiTM Cawangan Selangor yang mengendalikan aktiviti senamrobik dan sukaneka bersama kanak-kanak orang asli. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja memberi peluang mahasiswa berinteraksi dengan komuniti pelbagai latar belakang, malah turut mencetuskan suasana ceria dan mengukir senyuman pada wajah kanak-kanak, sekali gus membina kenangan manis antara sukarelawan dan penduduk setempat.

Penyertaan sukarelawan UiTM Cawangan Selangor dalam Program Turun Padang ini bukan sahaja memperkukuh nilai kemanusiaan dan empati dalam kalangan mahasiswa, malah mempererat jalinan hubungan antara warga UiTM dengan komuniti Orang Asli. Penglibatan ini juga mencerminkan sokongan serta komitmen aktif warga UiTM Cawangan Selangor dalam menjayakan inisiatif komuniti yang dianjurkan oleh agensi luar.

Penulis: Nor Azyyati Md Saad

Editor: Nor Azyyati Md Saad