
Bagan Datuk, 17 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyahut seruan memperkasa pendidikan luar bandar dengan menyertai Program Kembara Kesedaran Pendidikan Anak Desa Madani (KeDESA) yang berlangsung di Politeknik Bagan Datuk, Perak. Program ini merupakan inisiatif berimpak tinggi yang digerakkan oleh Gerakan Pendidikan Bumiputera Malaysia (GPBM) bagi mengenal pasti dan membimbing pelajar kurang berkemampuan dari kawasan pedalaman, luar bandar dan miskin bandar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Dilancarkan pada tahun 2024, KeDESA bertujuan menangani isu peningkatan jumlah pelajar yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan memberi galakan dan kesedaran tentang kepentingan pendidikan serta peluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta, dalam dan luar negara.
UiTM, khususnya dari Kampus Seri Iskandar, turut mengambil bahagian dalam program ini dengan menyediakan sesi penerangan berkaitan tatacara permohonan, pengambilan pelajar, serta penawaran program akademik yang merangkumi pelbagai bidang pengajian. Penyertaan ini mencerminkan komitmen UiTM dalam menyokong agenda nasional memperluas akses pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang menekankan kepentingan pendidikan tinggi dalam melahirkan generasi pelapis kepimpinan negara. Beliau menyifatkan KeDESA sebagai platform penting dalam menghubungkan pelajar berpotensi dengan institusi pendidikan, sekali gus membantu mereka menyambung pengajian dalam bidang yang relevan dan berkemahiran tinggi.
Turut hadir, Pengerusi MARA, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyatakan komitmen MARA dalam menawarkan biasiswa kepada pelajar Bumiputera cemerlang untuk melanjutkan pengajian di dalam dan luar negara. Penasihat GPBM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Bersama KeDESA, Datuk Nurul Hidayah Zahid, pula menegaskan bahawa penglibatan menyeluruh pelbagai agensi pendidikan adalah penting bagi memastikan impak maksimum dalam usaha mengurangkan keciciran pelajar dan meningkatkan kadar kemasukan ke universiti.
Selain aktiviti kembara, program turut merangkumi pameran pendidikan, sesi penerangan kemasukan ke IPT, maklumat pembiayaan pendidikan, slot motivasi keibubapaan, aktiviti ziarah komuniti, serta penerangan tentang konsep Malaysia MADANI. KeDESA menjadi bukti nyata bahawa pendekatan kolaboratif antara kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat mampu membuka jalan kepada masa depan yang lebih cerah buat anak-anak desa.
